DOHA : Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik selepas mengatasi cabaran Iran, 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan B, Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, sebentar tadi.
Jaringan Christian Pulisic pada separuh masa pertama sudah cukup buat pasukan mengiringi England ke kelompok 16 terbaik selaku naib juara kumpulan.
Berlangsung dalam perlawanan yang agak seimbang bagi kedua-dua pasukan, The Yanks yang membuat penampilan kali ke-11 dalam kejohanan kali ini menguasai 53 peratus dan melakukan sekurang-kurangnya lima percubaan tepat berbanding Iran tanpa sebarang ancaman ke gawang AS.
Timothy Weah hampir meletakkan AS pada minit ke-16 namun ketangkasan penjaga gol Iran, Alireza Beiranvand menyelamatkan gawang dari dibolosi.
Asakan bertali arus AS akhirnya membuahkan hasil setelah tandukan Segino Dest menemui Pulisic, yang bertembung dengan penjaga gol Iran ketika pemain tengah Chelsea itu menolak bola ke gawang pada minit ke-38.
Iran yang akan mara dengan hanya keputusan seri gagal mencari gol penyamaan sehinggalah tamat masa perlawanan.
Selaku naib juara kumpulan, AS bakal berdepan Belanda yang menerajui kumpulan A pada aksi kalah mati kelompok 16 terbaik. -AGENSI.