MERSING: Tindakan pihak lawan yang memainkan isu kluster mahkamah melibatkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Mersing, Datuk Abd. Latif Bandi disifatkan tidak memahami aspek mahkamah.
Abd Latif yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah.
Katanya, dalam kesnya ia mungkin disalah tafsir dari segi undang-undang sehingga beliau dituduh sebaliknya, sedangkan penjelasan sudah diberikan di mahkamah dan beliau akhirnya terbukti tidak bersalah.
“Saya rasa mereka itu semua tidak faham dengan isu mahkamah, bagi saya apabila kita dituduh tidak semestinya kita bersalah.
“Macam saya ketika itu saya terus letak jawatan untuk pertahankan diri saya. Jadi dalam mahkamah bukan prosesnya ambil masa setahun, macam saya ambil masa lima tahun untuk menjawab segala soalan dan akhirnya mahkamah melepaskan dan kes saya ditutup.
“Kita kena hormati undang-undanglah. Mungkin ini salah tafsir dari segi undang-undang hingga saya dituduh. Tetapi bila saya jelaskan di mahkamah, akhirnya benda itu terbukti bahawa saya tidak bersalah,” katanya ditemui selepas beramah mesra dengan penduduk di Felda Tenggaroh 1, dekat sini.
Beliau berkata isu dibawa pihak lawan itu tidak akan mematahkan semangatnya kerana beliau adalah seorang pejuang parti.
Katanya, memang asam garam dalam politik pelbagai perkara serta kemungkinan yang boleh berlaku, namun beliau sedia bekerja demi untuk parti UMNO.
“Apabila kita terlibat dalam politik, ini pelbagai perkara kemungkinan yang boleh kita lalui. Nawaitu saya lillahitallah. Saya mahu lakukan yang terbaik dan akhirnya memihak pada saya.
“Saya kira ini adalah ujian Allah kepada saya supaya lebih beristiqamah dan pastikan tanggungjawab kita, kalau tidak kenapa kepimpinan UMNO memilih saya untuk bertanding kerana ada keperluan untuk saya terlibat semula,” katanya . – UTUSAN