ALOR GAJAH: Lagi empat hari menjelang pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), gelombang Barisan Nasional (BN) kelihatan semakin menguasai Parlimen Alor Gajah.
Tawaran yang dikemukakan oleh Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Alor Gajahj, Shahril Sufian Hamdan berjaya memikat hati pengundi yang yakin bakal memberi impak kepada penduduk untuk jangka panjang.
Antaranya, penumpuan kepada isu pendapatan dan peluang pekerjaan anak muda dan wanita, serta sasaran menjadikan Alor Gajah sebagai hab sekuriti makanan.
Ia adalah antara lima petunjuk prestasi utama (KPI) yang digariskan oleh Shahril sekiranya beliau diberikan mandat oleh para pengundi di Alor Gajah menjadi wakil rakyat kawasan ini.
KPI yang digariskan itu bertujuan membolehkan masyarakat menilai prestasinya sebagai wakil rakyat, jika mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Walaupun bakal berhadapan dengan calon-calon hebat daripada pihak lawan iaitu penyandang, Datuk Seri Redzuan Yusuf dari Perikatan Nasional (PN); bekas Ketua Menteri, Adli Zahari dan calon Pejuang, Muhammad Nazriq Abdul Rahman, namun sikap rendah diri Shahril iaitu yang membawa tagline ‘Alor Gajah Izinkan Saya..’ beliau makin mendapat tempat di hari pengundi
Ini ditambah pula dengan lima KPI yang digariskan oleh Shahril itu diyakini dapat menarik sokongan daripada para pengundi.
Seorang pengundi yang ditemui berkata, selain personaliti Shahril yang merendah diri dan dilihat sebagai calon pemimpin masa hadapan, perbezaan antara pentadbiran BN dengan yang lain-lainya membuat sokongan mereka kini beralih kepada BN.
“Manifesto yang dibawa oleh BN melalui Shahril elalu katakan mereka sudah ada legasi di Alor Gajah berbanding dengan saya.
“Sebagai pengundi kami menilai prestasi wakil rakyat sekarang dan membuat perbandingan dengan apa yang ditawarkan untuk masa depan.
“Sudah tentu kami mahukan masa depan yang lebih baik, lebih terjamin, peluang pekerjaan bertambah, masalah rakyat di atasi dan mengembalikan era yang lebih baik di Alor Gajah,” katanya.
Seorang lagi pengundi yang ditemui berkata, beliau tertarik dengan penampilan sederhana yang dibawakan oleh Shahril yang sentiasa merendah diri dan mengelakkan konfrantasi.
Katanya, Alor Gajah memerlukan wakil rakyat berkarisma, yang boleh bersama rakyat ketika susah dan senang serta dapat memperjuangkan apa juga isu yang dihadapi mereka.
“Saya rasanya KPI yang ditetapkan oleh calon BN ini adalah untuk manfaat penduduk Alor Gajah.
“Sudah tentu kita mahu infrastruktur dinaik taraf, rakyat ada akses berkualiti kepada pendidikan dan yang paling penting peluang ekonomi bertambah dan pendapatan penduduk meningkat,” katanya. – UTUSAN