PETALING JAYA: Setelah sekian lama isu Video Bantuan Pengadil (VAR) dibangkitkan akhirnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ‘terbuka hati’ untuk menggunakan teknologi berkenaan pada kempen Piala FA dan Malaysia tahun depan.
Keputusan itu sudah pasti akan memberi kegembiraan kepada pasukan bertanding dan juga peminat-peminat bola sepak yang menantikan VAR diaplikasikan dalam saingan liga tempatan sejak teknologi itu kali pertama digunakan di Piala Dunia 2018 Russia.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/var3-600x400.jpg)
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif badan induk itu bersetuju untuk menggunakan teknologi berkenaan.
“Jawatankuasa Eksekutif sudah dimaklumkan FAM sedang dalam proses meneliti untuk menggunakan VAR dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia 2023, bukan dalam aksi liga.
“Maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Setakat ini kita bersetuju untuk menggunakan teknologi itu dalam pertandingan itu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kali ke-6 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025 di Wisma FA, semalam.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/FAM-16-600x400.jpg)
Penggunaan VAR telah lama dibangkitkan agar digunakan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) namun kekangan kewangan selain kemudahan stadium itu sendiri menjadi penghalang kepada penggunaan teknologi berkenaan.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil, Datuk S.Sivasundram menjelaskan pihaknya sedang meneliti secara terperinci mengenai kesesuaian peringkat pertandingan untuk menggunakan VAR dan akan menghantar pengadil tempatan menjalani kursus berkaitan.
“Kita perlu mengkaji dengan lebih mendalam. Mungkin ia akan digunakan bermula pada peringkat suku akhir dan seterusnya, atau mungkin juga daripada peringkat kumpulan.
“Kita perlu adakan mesyuarat dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengendali liga tetapi kita memang menuju ke arah itu. Pengadil pun akan menjalani kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan.
“Kita juga berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mendapatkan tenaga pengajar,” ujarnya yang juga merupakan Timbalan Presiden FAM.
Apa yang dinantikan penyokong sudah tiba selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan VAR akan mewarnai saingan liga tempatan musim depan.