DOHA : Mohammed Kudus muncul hero buat Ghana selepas menjaringkan dua gol membantu kemenangan 3-2 mengatasi Korea Selatan pada aksi Kumpulan H, Piala Dunia 2022 di Stadium Education City, sebentar tadi.
Kejayaan ini mengukuhkan status Ghana sebagai pasukan lebih baik memandangkan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ketika aksi persahabatan pada Jun 2014 turut berpihak kepada skuad Black Stars dengan keputusan 4-0.
Paling menarik, ini adalah kali pertama Ghana berjaya menjaringkan dua gol atau lebih secara berturut-turut di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir melakukanya pada edisi 2006.
Pada perlawanan yang berlangsung, penyerang Crystal Palace, Jordan Ayew menjadi pencetus kepada kedua-dua gol Ghana menerusi Mohammed Salisu pada minit ke-23 dan Kudus, minit ke-33 untuk meletakkan Ghana dua gol didepan tanpa balas.
Babak kedua pula memperlihatkan kebangkitan Taegeuk Warriors menerusi Cho Gue-Sung yang menghasilkan dua gol pantas, bermula pada minit ke-57 dan minit ke-60 sekaligus menjadikan kedudukkan kembali seimbang.
Selang tujuh minit selepas itu, kelekaan pertahanan Korea Selatan mengundang padah apabila Kudus kembali meletakkan Black Stars di depan dengan menyumbangkan gol kedua peribadinya dalam penyertaan di Piala Dunia kali ini.
Kedudukan 3-2 ini kekal sehinggalah perlawanan tamat dan misi Korea Selatan untuk mencipta keajaiban melepasi peringkat kumpulan seakan bertambah sukar apabila dijadualkan menentang Portugal pada aksi terakhir kumpulan, Jumaat ini. -AGENSI.