Calon boleh solat di masjid tapi dilarang berkempen - KM Melaka - Utusan Malaysia

Calon boleh solat di masjid tapi dilarang berkempen – KM Melaka

SULAIMAN Md. Ali menyampaikan replika cek sumbangan pada Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penggunaan masjid dan surau di negeri ini bagi tujuan kempen pilihan raya adalah tidak dibenarkan, tidak mengira sama ada calon itu daripada parti kerajaan atau pembangkang.

Tegas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, bagaimanapun larangan itu tidak terpakai untuk mana-mana pemimpin atau calon yang hadir ke surau atau masjid bagi menunaikan solat atau beribadah.

Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebelum ini sudah mengeluarkan notis larangan berkempen atau mengadakan aktiviti berunsur politik di premis berkenaan.

“Kalau datang hendak berkempen tidak boleh lah, sebab JAIM pun sudah keluarkan notis untuk berkempen tidak dibenarkan, saya pun tidak benarkan untuk berkempen dalam masjid dan surau.

“Kerajaan negeri tidak halang sekiranya mana-mana pemimpin politik mahu datang ke masjid dan surau untuk solat, tetapi jangan salah guna jadikan ia sebagai tempat untuk berpolitik.

“Kita ada pelbagai sahsiah dan latar belakang, jadi jagalah imej masing-masing, masjid dan surau tempat untuk kita beribadat dan beramal, jadi tidak bagus jika jadikan sebagai tujuan lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) reda setelah aktiviti berkempennya yang telah dijadualkan berlangsung di sebuah surau di sini semalam, dipercayai dibatalkan pada saat akhir.

Katanya, beliau telahpun tiba di hadapan surau berkenaan sebelum dimaklumkan oleh ahli jawatankuasa (AJK) bahawa kehadirannya tidak dapat diterima atas sebab-sebab yang tidak didedahkan.

“Jadual sepatutnya saya bergotong-royong dengan jemaah di sini pagi ini. Tapi saya telah dimaklumkan oleh AJK surau yang mereka tak dapat terima kehadiran saya, atas sebab-sebab tertentu.

“Tak apalah, saya faham. Saya hanya pandang dari jauh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya