KANGAR: Barisan Nasional (BN) negeri akan menggandakan usaha bagi mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi mereka di samping merampas kembali kawasan yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau berkeyakinan BN akan memenangi sebanyak mungkin kerusi sekali gus berjaya membentuk kerajaan di negeri itu.
Katanya, BN berpeluang bagi mengekalkan kemenangan pada kali ini dan menyumbang kepada pertambahan sokongan pengundi baharu buat parti itu.
“Kawasan yang BN tewas sebelum ini antaranya seperti Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan juga turut menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan pengundi khususnya melibatkan masyarakat kaum Cina,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu sesi walkabout di pekan Kuala Perlis di sini hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan ramalan calon Bebas Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi, Datuk Zahidi Zainul Abidin bahawa BN akan tewas buat pertama kalinya dalam sejarah di negeri itu dalam PRU15.
Kata Zahidi, BN dijangka kehilangan sekurang-kurangnya sembilan kerusi DUN termasuk Parlimen Arau selain Padang Besar yang peluangnya masih seimbang.
Dalam pada itu, Azlan yang juga Menteri Besar berkata, pada kali ini, BN optimis dengan sasaran bagi mengekalkan kemenangan mereka di 10 kawasan DUN di Perlis.
“Kita cuba untuk tambahkan jumlah kerusi DUN yang tewas sebelum ini antaranya seperti Sena, Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Guar Sanji berdasarkan momentum positif dalam kalangan pengundi ketika ini,” katanya.
Tambahnya, pengundi pada masa kini juga lebih cenderung melihat kepada elemen kestabilan memandangkan mereka pernah merasai pengalaman ditadbir bawah kerajaan gagal selama 22 bulan.
“Rakyat tak mahu lagi berhadapan situasi sama kerana keadaan itu merugikan negeri dan negara,” katanya. – UTUSAN