Bermula dengan motor pinjam, Hakim Danish kini juara Asia

Bermula dengan motor pinjam, Hakim Danish kini juara Asia

DANISH Ramli (tengah) bersama ahli keluarganya ketika pulang ke tanah air selepas dinobatkan juara Asia Talend Cup 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, tiada siapa menduga daripada sekadar mencuba-cuba menunggang pocket bike ketika berumur tujuh tahun, Hakim Danish Ramli kini boleh berbangga menjadi juara sulung dari Malaysia untuk Kejohanan Asia Talent Cup sejak dilangsungkan pada 2014.

Bagaimanapun kejayaan tersebut tidak datang bergolek, bapa Danish, Ramli Ibrahim, 55 tahun menjelaskan permulaan Danish dalam dunia permotoran penuh dengan cabaran berliku.

Ia bermula dengan motorsikal pocket bike yang dipinjam daripada kenalan, dia mengajar Danish untuk berlumba dan kemudian terpaksa mengikat perut untuk menampung perbelanjaan menyertai pertandingan di seluruh Malaysia sebelum bakatnya dicungkil oleh bekas pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin.

Lebih menyedihkan, ada ketika mereka anak beranak terpaksa tidur di dalam kereta ketika menyertai pertandingan di luar negeri Terengganu bagi menjimatkan kos perbelanjaan.

“Saya rasa kejayaan ini cukup manis, sebab ramai tidak tahu betapa susahnya saya hendak memastikan dia berada di tempat dia kecapi kini, memang saya tak jangka kini dia menjadi juara Asia.

“Sebab kami bermula dengan sangat susah, motor pun dahulu pinjam orang punya, dan mujurlah saya ada kemahiran membaiki, jadi sedikit sebanyak saya boleh membuat penambah baikkan serta membaiki kerosakan secara sendiri.

“Saya dan ibunya (Norhayati Abdul Razak) pernah sumbat sebuah motor ke dalam sebuah kereta Proton Gen2 dan kami tiga beranak akan pergi sekitar bawah Jambatan Angkat Kuala Terengganu untuk Danish berlatih, kami terpaksa leraikan bahagian motor tersebut satu per satu, dan kemudian pasang kembali.

“Pada mulanya saya berusaha sendiri untuk menampung perbelanjaan, tetapi ada kala saya terpaksa meminjam sanak saudara, saya terpaksa kerana jauh dalam hati saya, saya tahu dia (Danish) mempunyai bakat, dan saya tak nak ia dipersiakan begitu sahaja.

“Kesusahan ini juga menjadi motivasi buat dia dalam setiap kali perlumbaan di awal pembabitan dalam sukan permotoran, kerana setiap kejohanan kami sertai, dia akan mencuba meraih tempat pertama, supaya dapat ganjaran, dan jika ada hadiah wang tunai, duit itu akan digunakan untuk membayar kembali segala kos yang dikeluarkan untuk menyertai saingan tersebut,” jelas Ramli yang sebak menceritakan kembali perjalanan karier Danish ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 kelmarin.

Danish diangkat menjadi juara setelah mengumpul keseluruhan 187 mata mengatasi pencabar terdekatnya dari Jepun, Shinya Ezawa yang mengumpul 177 mata dan diikuti pelumba Indonesia Veda Ega Pratama di kedudukan ketiga dengan 141 mata.

Selepas ini, pelumba berusia 15 itu akan menyertai saingan Rookies Red Bull Cup pada tahun hadapan, bersama-sama seorang lagi wakil negara iaitu Danial Syahmi Ahmad Shahril.

“Untuk tahun ini saya berpuas hati dengan pencapaian saya, jadi tugas akan menjadi lebih mencabar tahun hadapan di Rookies Red Bull Cup kerana di sana saya akan bersaing bukan sahaja dengan pelumba Asia, tetapi Eropah dan saya akan cuba untuk berusaha dengan lebih keras lagi dalam usaha mahu mencapai cita-cita beraksi di Kejohanan Dunia Motogp,” jelas Danish. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya