PUCHONG: Pertubuhan Amal Uncle Kentang sudah bersedia 100 peratus dari segi kelengkapan dan persiapan bagi membantu mangsa banjir terutamanya di negeri Selangor menjelang musim tengkujuh hujung tahun ini.
Aktivis kemasyarakatan, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, persiapan rapi kali ini dibuat selepas mengambil iktibar bencana banjir yang melanda negara pada Disember lalu.
“Kita belajar dari bencana banjir yang berlaku di Taman Sri Muda (Shah Alam), kali ini jika berlaku banjir lagi kita sudah ada pengalaman dan belajar dari kesilapan lalu ketika menghulurkan bantuan pada mangsa terdahulu.
“Kita lihat apa kekurangan dan tambah baik dari segi persediaan, misalnya jika Kampung Sri Aman (Puchong) berlaku banjir, kita boleh terus masuk dan beri bantuan awal untuk keluarkan mangsa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Chee Heng yang juga calon Bebas Parlimen Puchong pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, persiapan tersebut merupakan komitmen secara berterusan bagi membantu mangsa banjir dan bukanlah bersifat sementara ketika musim pilihan raya.
Jelasnya, ketika ini mereka sudah bersedia dengan kekuatan tiga buah bot bersama pemandu berlesen termasuk peralatan seperti gergaji pokok dan besi, ubat-ubatan, lampu, dron, pelampung, jaket keselamatan dan stok makanan.
“Kita bukan nak cakap besar tapi kalau lihat kami punya persediaan memang kamu akan terkejut, semuanya lengkap termasuk ada alat komunikasi sekiranya terputus hubungan.
“Kerja-kerja yang saya buat selama ini adalah hobi saya untuk bantu orang jadi saya akan pastikan semua dapat bantuan sewajarnya,” ujarnya.
Tambah Chee Heng, beliau turut menjalin kerjasama yang erat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir sebelum ini.
“Ketika banjir jangan masuk sendiri ke kawasan bencana, kena ikut JBPM sebab mereka lebih mahir dan tahu selok-belok lokasi kejadian dan rumah penduduk,” katanya.
Walaupun tewas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih tiga tahun lalu, Chee Heng sekali lagi menawarkan diri sebagai calon Bebas dan bakal berdepan saingan empat penjuru menentang Yeo Bee Yin (Pakatan Harapan), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader (Barisan Nasional) dan Chew Jyh Gang (Perikatan Nasional). – UTUSAN