SEPANG: Kunjungan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Sepang, Anuar Basiran ke kawasan Tanjung Sepat di sini bukan sekadar seperti balik ke kampung halamannya sendiri, malah mendapat perhatian luas penduduk setempat yang juga pernah membesar di sini.
Lebih menarik, kawasan pekan kecil tepi pantai menghadap Selat Melaka yang dihuni majoriti kaum Cina itu bukanlah asing kepada beliau sepanjang karier politik bermula sejak 2001 lalu.
Bahkan tidak ramai tahu, Anuar, 45, pernah tampil membantu empat orang kanak-kanak Cina dari Tanjung Sepat untuk mendapatkan kad pengenalan mereka sendiri empat tahun lepas.
Sikap mesra beliau yang sanggup menolong sesiapa sahaja tanpa mengira kaum tersebut diceritakan kembali seorang penduduk di situ, Beatrice Tang ketika sesi tinjauan di pekan itu.
“Beliau pernah membantu empat individu ini dan sanggup meminta pegawai Jabatan Pendaftaran Negara datang sendiri bagi menguruskan isu dokumentasi,” katanya ketika ditemui pemberita.
Wanita berkenaan yang kini menetap di Shah Alam dan bertugas sebagai pengarah sebuah firma tempatan berkata, Anuar turut ditolong ketua kampung pada waktu itu, Chong Kim Fui.
Proses yang dianggap agak rumit itu ujarnya, berjaya diselesaikan apabila pada hujung 2019 lalu dan kesemua kanak-kanak tersebut akhirnya gembira menerima kad pengenalan sendiri.
Peristiwa berkenaan jelas Tang, menjadi ‘buah mulut’ penduduk di pekan itu dan kemudian mula meyakini balik BN berbanding sikap wakil rakyat parti pembangkang yang kurang menyerlah.
Dalam pada itu, Anuar tidak menjadikan kisah beliau tersebut sebagai publisiti semata-mata, malah tetap mendampingi masyarakat termasuk setiap penduduk yang ditemuinya hari ini termasuk turut berkesempatan menziarahi keluarga mendiang Chan Jee Heng selain bertanya khabar para peniaga di pasar serta melayani pengunjung medan selera di pekan berkenaan.
Tinjauan beliau diteruskan lagi dengan bertemu beberapa pertubuhan bukan kerajaan kaum Cina serta menyantuni ramai pesakit dan petugas yang sibuk di Klinik Kesihatan Tanjung Sepat. – UTUSAN