IPOH: Tempoh 22 bulan berada di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) amat menyeksakan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu berkata, pengalaman berada dalam Kabinet PH memberi tekanan apabila kepemimpinan kerajaan tidak menghormati perkara-perkara utama yang menjadi tunjang negara.
Malah katanya, tindakan menyekat beberapa peruntukan untuk orang Melayu jelas tidak menghormati hak keistimewaan kaum tersebut.
“Saya sudah ada dalam jemaah menteri hampir 40 tahun lamanya. Sebelum ini kita bincang masalah dengan tenang, buat keputusan penting untuk uruskan semua hal ehwal termasuk keselamatan dan ekonomi.
“Tapi berada 22 bulan dalam PH adalah cukup menekan dan menyeksakan. Amat luar biasa. Saya beri contoh dalam hal ekonomi, ini diberitahu Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dan kami ada di situ, ditekan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas).
“Kedua-dua agensi ini yang membantu orang Melayu dari segi modal perniagaan telah ditarik peruntukannya. Dia (Guan Eng) langsung tidak menghormati agensi-agensi ini apabila peruntukan yang disediakan dihentikan dan diambil balik,” katanya ketika berucap pada program Jelajah Perikatan Nasional (PN) Best Tambun di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak di sini, semalam.
Yang hadir sama Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Menteri Besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Pengerusi PN itu, sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau didesak menghapuskan Akta Hasutan 1948 yang telah diwujudkan dalam negara sejak sekian lama.
Katanya, satu jawatan kuasa dibentuk di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan jawatan kuasa berkenaan berpandangan akta tersebut tidak boleh dihapuskan kecuali dirujuk kepada Majlis Raja-Raja Melayu.
“Kalau Majlis Raja-Raja Melayu bersetuju atau berkenan barulah kita boleh pinda. Tapi saya awal-awal berasakan tidak wajar dan munasabah untuk rujuk perkara berkaitan kedudukan dan hak keistimewaan raja-raja dihapuskan dan terdedahlah kedudukan raja-raja dengan perbuatan penghinaan oleh sesiapa.
“Ini tuntutan daripada DAP dan Anwar ada di situ, kalau dia memperjuang dan menyokong Perlembagaan, seharusnya perbuatan dan desakan itu tidak diambil,” katanya. – UTUSAN