KUALA LUMPUR: Kerusi Parlimen Batu dijangka menyaksikan pertembungan 10 penjuru daripada pelbagai parti dan beberapa calon Bebas.
Calon-calon mula hadir pada 8 pagi dan berarak bersama penyokong-penyokong mereka lalu memasuki pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama pada pukul 9 pagi.
Mereka terdiri daripada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kohilan Pillay; Pakatan Harapan (PH), P. Prabakaran; Gerakan Tanah Air (GTA), Wan Azliana Wan Adnan; Parti Warisan, P. Naganathan dan Perikatan Nasional (PN), Azhar Yahya.
Peguam Siti Zabedah Kasim dan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra serta beberapa individu lain bertanding sebagai calon Bebas.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kerusi Parlimen Batu dimenangi oleh Prabakaran yang ketika itu bertanding sebagai calon Bebas sebelum menyertai PKR. – UTUSAN