LIPIS: UMNO Bahagian Lipis tidak gentar siapa pun calon pembangkang termasuk dari DAP yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, beliau yakin dengan pilihan pengundi di situ yang sejak dari dahulu lagi kekal memilih Barisan Nasional (BN).
“Saya ada mendengar hasrat parti DAP ingin meletakkan calonnya bertanding di Parlimen Lipis dan DUN tertentu di sini termasuk PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).
“Kita tiada masalah, sesiapa pun yang ingin bertanding kita tidak gentar, kita tahu denyut nadi pengundi di sini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Santuni Pemimpin Institusi Felcra Berhad, Wilayah Pahang Bersama Kementerian Pembangunan luar Bandar (KPLB) di Kampung Kuala Lanar, di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, sejak Pilihan Raya Umum Ketujuh (PRU7), UMNO mempunyai rekod cemerlang menguasai Parlimen dan DUN Padang Tengku, Benta, manakala rakan MCA juga menzahirkan prestasi yang sama di DUN Cheka.
“DAP pernah meletakkan calonnya, Woo Chee Wan untuk bertanding pada PRU7 (1986) di Parlimen Lipis yang cuma mendapat 3,773 undi selepas tewas kepada Wang Choon Wing (BN) dengan memperoleh sebanyak 13,533 undi.
“Setelah DAP tewas pada PRU7, parti itu tidak lagi mencuba nasib dengan meletakkan calonnya bertanding di Lipis pada PRU selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, jika pada PRU15 ini DAP mahu kembali meletakkan calonnya, ia fenomena baharu politik di sini dan UMNO Lipis yakin situasi sama seperti PRU7 lalu berulang.
“Namun saya berharap pengundi Parlimen Lipis dan tiga DUN di sini wajar berwaspada jika DAP meletakkan calonnya dan jangan sesekali termakan dakyah mereka semasa berkempen yang cuma mahukan kuasa, tetapi mengabaikan kebajikan rakyat dan pembangunan setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pengundi jangan membuat kesilapan kali kedua kerana ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada pemimpin DAP dan rakan sekutunya memerintah negara selama 22 bulan, banyak menyusahkan rakyat berikutan ekonomi negara merudum. – UTUSAN