PRU15: Alias mahu laksana kempen secara hati nurani

PRU15: Alias mahu laksana kempen secara hati nurani

ALIAS ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU:  Alias Ismail yang dipilih sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Parlimen Hulu Terengganu, akan melaksanakan kempen politik secara ‘hati nurani’ untuk memikat pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Bekas wartawan sambilan Utusan Malaysia berusia 54 tahun itu yang merupakan seorang guru dan pernah bertugas di tujuh sekolah rendah dan menengah di daerah ini serta sebuah sekolah menengah di daerah Dungun sebelum ini berkata, beliau bersama jentera pilihan raya PKR dan Pakatan Harapan (PH) Hulu Terengganu akan memulakan kempen selepas hari penamaan calon pada 5 November ini.

Menurutnya, sepanjang tempoh kempen tersebut, beliau tidak akan melakukan serangan  peribadi terhadap calon-calon lawan dan memburuk-burukan parti yang bertanding di Parlimen itu.

Sebaliknya, beliau akan menjalankan kempen dengan memberi tumpuan terhadap tawaran-tawaran yang ingin dilaksanakan bagi membantu meningkatkan sosial ekonomi dan taraf hidup penduduk tempatan serta rancangan pembangunan di kawasan itu.

“Saya tidak nafikan sepanjang bertugas sebagai guru sejak tahun 1991, saya dikenali ramai dalam kalangan guru, bekas anak murid dan ibu bapa serta penduduk di Parlimen ini.

“Selain itu, saya juga terlibat secara aktif dalam Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), aktiviti sukan, penulisan dan kemasyarakatan di Parlimen ini.

“Berdasarkan kelebihan tersebut, saya percaya pendekatan kempen politik secara ‘hati nurani’ paling berkesan untuk meraih undi pada PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan  Malaysia, hari ini.

Selain itu, Alias yang kini bertugas sebagai Pegawai Pakar Bahasa di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Terengganu berkata, beliau mengakui terpaksa berhadapan tugas berat apabila bakal bertarung dengan calon hebat daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, setakat ini difahamkan, penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bertanding atas tiket PN manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Datuk Rozi Mamat pula calon BN yang merupakan tokoh lama dalam politik.

“Saya bersedia dan tidak gentar berhadapan dengan kedua-dua calon ini kerana percaya pengundi mahukan perubahan dengan memberi sokongan kepada calon baharu dalam kalangan anak tempatan yang mudah didekati,” ujarnya.

Pada 29 Oktober lalu, PKR mengumumkan empat calon yang akan bertanding di empat kerusi Parlimen di Terengganu.

Tiga calon lain ialah Mohamad Ngah, 69, yang akan bertanding di Parlimen Setiu, Mohd. Johari Mohamad, 51, (Dungun) dan Hasuni Sudin (Kemaman).

Sementara empat lagi kerusi Parlimen di negeri ini diserahkan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) iaitu Kuala Terengganu, Marang, Kuala Nerus dan Besut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya