JOHOR BAHRU: Rakyat negeri ini diajak untuk memilih kerajaan yang selari dengan pentadbiran kerajaan negeri bagi memastikan sektor ekonomi Johor terus berkembang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, langkah itu akan memudahkan usaha kerajaan negeri untuk terus menarik kehadiran pelabur asing ke negeri ini.
Oleh itu, katanya, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti akan menjadi faktor pemangkin bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk terus memilih Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai contoh, selepas PRU14 pada 2018, beberapa projek seperti pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Senai-Desaru ditangguhkan selepas pertukaran kerajaan. Keadaan ini menyebabkan pelabur asing lebih berjaga-jaga.
DIAKTIFKAN
“Pada Belanjawan 2023, Perdana Menteri telah bersetuju projek tersebut diaktifkan semula selain memberi status khas kepada Pengerang dan menaik taraf perkhidmatan bas di Johor.
“Pengumuman belanjawan itu memberi kesan yang positif dalam kalangan syarikat pelabur asing. Oleh itu, kita merayu masyarakat memilih kerajaan yang selari dengan kerajaan negeri supaya kita dapat keputusan yang lebih cepat dan efektif,” katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali di Lotus’s Mutiara Rini, semalam.
Ting Han yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh berkata, kestabilan politik adalah salah satu aspek yang diberi pertimbangan oleh pelabur asing selain lokasi strategik dan infrastruktur yang efisien.
Justeru, banyak pelaburan asing dan domestik berjaya dibawa masuk kerajaan negeri pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 40 kerusi daripada 56 yang dipertandingkan.
“Pelabur-pelabur yakin kerana polisi di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri dapat dilaksanakan dalam jangka masa panjang, sekali gus Johor berjaya menyumbang terhadap prestasi pelaburan yang sangat membanggakan.
“Selepas PRN Johor, kita dimaklumkan banyak syarikat asing yang menyatakan minat kembali ke Johor. Pelabur ini sudah lama buat kaji selidik dan cari peluang perniagaan tapi mereka hanya membuat keputusan untuk melakukan pelaburan selepas PRN.
“Ini kerana mereka ada pengalaman pada 2018 apabila pelaburan berskala besar dibatalkan. Maka, ia menjadi kebimbangan buat mereka terutamanya pelabur luar yang mahu melihat keadaan politik di sesuatu negara sebelum membuat sesuatu keputusan,” ujarnya. – UTUSAN