GEORGE TOWN: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mahu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Pulau Pinang menggunakan logo PH ketika bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pemuda PH Pulau Pinang menerusi kenyataan bersama berkata, ketetapan itu dicapai dalam mesyuarat antara Ketua Pemuda PH Pulau Pinang telah berlangsung semalam.
”Kami menghormati keputusan perbincangan antara PH Pusat dengan Parti MUDA tetapi kami ingin tegaskan bahawa Parti MUDA Pulau Pinang harus menggunakan logo PH bagi kerusi Parlimen Kepala Batas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Dapsy Pulau Pinang, Lee Wei Seang; Ketua Pemuda Amanah Pulau Pinang; Khairul Ali dan Ketua AMK Pulau Pinang, Fadzli Roslan.
Parti MUDA akan mempertaruhkan calonnya di tiga kerusi Parlimen pada PRU-15 dengan fleksibiliti menggunakan logo sendiri yang mana Ketua Parlimen MUDA Pulau Pinang, Danial Abdul Majeed akan bertanding di kerusi Parlimen Kepala Batas.
Menurut kenyataan itu, pada awal September lalu, Majlis Presiden PH menerima permohonan daripada parti MUDA untuk menyertai PH secara rasmi.
Tambahnya, dua minggu lalu pula, PH telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama politik dengan parti MUDA dalam menghadapi PRU-15.
“Permohonan MUDA untuk memasuki gabungan PH secara rasmi mungkin tidak sempat diproses kerana memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Ini bermaksud tiada alasan jika pada PRU-15 kali ini parti MUDA tidak menggunakan logo PH walaupun parti tersebut belum diterima secara rasmi disebabkan isu teknikal,” katanya.
Tambah kenyataan itu, sebagai menunjukkan keikhlasan dan bekerjasama sebagai satu pasukan, parti MUDA Pulau Pinang perlu menggunakan hak fleksibiliti supaya logo PH digunakan bersama di kawasan Parlimen Kepala Batas. – UTUSAN