Pemecatan Phahrolrazi tak jejas Amanah Kedah

Pemecatan Phahrolrazi tak jejas Amanah Kedah

ISMAIL SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kemelut Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah ekoran pemecatan Pengerusinya, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi semalam tidak menggugat persediaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Pemangku Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, pihaknya juga akan memastikan kemelut berkenaan tidak menjejaskan momentum parti dan sokongan pengundi ketika berkempen untuk pilihan raya nanti.

“Kekecohan itu biasa tetapi kita akan berusaha bagi memastikan ia tak bawa kesan kepada Pakatan Harapan (PH). Malah kami yakin dengan gelombang yang ada, kami akan menang nanti. Itu isyaratnya walaupun ada sedikit sebanyak masalah tetapi kita tidak merasakan itu merencatkan peluang PH untuk menang.

“Saya rasa sedikit kekeruhan ini mampu diatasi oleh gelombang (rakyat) yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Semalam, Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu dipecat serta-merta oleh Amanah sebagai ahli parti itu selepas beliau terus mendesak agar kerusi Parlimen Jerai diserahkan kepada mereka berbanding DAP. 

Menyentuh tentang isu agihan kerusi kepada DAP di Parlimen Jerai itu, kata Dr. Ismail, Amanah Kedah akur dengan keputusan yang dibuat Majlis Presiden PH.

“Sebelum Phahrolrazi, saya juga buat perkara sama untuk rundingan kerusi kerana saya adalah ketuanya. Saya juga pertahankan apa yang beliau pertahankan. Tetapi apabila tak selesai di peringkat itu, ia dibawa ke peringkat pengerusi dan peringkat atasan yang akhirnya di Majlis Presiden.

“Dalam rundingan akhir itu, Majlis Presiden memutuskan kerusi Jerai diberikan kepada DAP, sampai di situ saya patuh tetapi Phahrolrazi terus mendesak selagi ruang masih ada sampai 5 November ini (penamaan calon),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya