Mohon bantuan Mindef atasi masalah bekalan air

Mohon bantuan Mindef atasi masalah bekalan air

ONN HAFIZ GHAZI diberi taklimat mengenai usaha pembaikan paip yang pecah ketika melawat lokasi kejadian di Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi membekalkan tangki air tambahan untuk mengatasi krisis air di kawasan Pasir Gudang.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu merupakan antara pelan jangka pendek bagi memastikan  penduduk yang terjejas di kawasan terbabit mendapat bekalan air bersih.

Beliau berkata, tangki air yang dibekalkan Mindef itu akan ditempatkan di beberapa lokasi strategi bagi memudahkan pengguna mendapat bekalan air bersih.

“Saya telah memaklumkan kepada Mindef bagi mendapatkan bantuan tangki air dan menghubungi kem tentera di Kluang untuk menambah tangki air bagi memenuhi keperluan yang mendesak penduduk di kawasan terjejas di sekitar Pasir Gudang.

“Dalam masa sama, kita juga bersama-sama Datuk Bandar Pasir Gudang dan wakil rakyat sedang mengkoordinasi supaya tangki air dihantar ke lokasi strategik,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi paip pecah di Seri Alam, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Noor Azleen Ambros dan Pengarah Rangkaian Ranhill SAJ, Khairul Effendy Pusam.

Kebocoran paip air di Bandar Seri Alam, di sini sejak Jumaat lalu menjejaskan sehingga 300,000 penduduk, khususnya di kawasan Tanjung Langsat, Plentong, Permas Jaya dan Masai.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dilaporkan berkata, kebocoran paip berlaku ketika kerja menaik taraf dilakukan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Kerja menaik taraf untuk menambah satu lagi paip baharu itu menyebabkan kedua-dua paip berukuran 1,000 mm dan 1,200 mm sedia ada pecah.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, insiden tersebut menyebabkan sebanyak 60,000 akaun pengguna masih terjejas dan pihak Ranhill SAJ telah turun padang sejak hari pertama dan membawa kepakaran bagi menyelesaikan masalah itu.

“Saya memahami bahawa ini satu ujian besar untuk penduduk di kawasan ini, tetapi ada terdapat teknikal isu paip pecah di kawasan ini dan paip itu terletak sedalam lapan meter.

“Hujan lebat pada malam tadi menyebabkan kerja-kerja pembaikan yang dilakukan pihak Ranhill SAJ berdepan sedikit kesukaran untuk membaiki paip rosak.

Kawasan yang masih terjejas termasuk Bandar Seri Alam, Plentong, Taman Rinting, Masai, Permas Jaya dan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN