BAGAN SERAI: Seorang lelaki maut setelah motosikal ditungganginya melanggar jentera pembajak sawah di Kampung Tebuk Rimba Semanggol, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintenden Hudri Mohd. Arshad berkata, mangsa, Abu Samah, 46, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Semanggol menuju ke Kampung Tengah Selinsing.
“Ketika melalùi jalan di kampung itu, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh tayar belakang bahagian kanan jentera pembajak yang dipandu oleh seorang lelaki yang berumur 39 tahun.
“Pemandu jentera pembajak tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN