KUALA LUMPUR: KL Wellness City Sdn Bhd buat julung kalinya akan menganjurkan Cabaran Kecergasan Fizikal pada 11 Disember depan sebagai satu daripada usaha memupuk masyarakat di negara ini mengamalkan gaya hidup sihat.
Pengarah Urusan KL Wellness City, Datuk Dr Colin Lee, berkata cabaran berkenaan diyakini mampu mendorong masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan mampan.
“Statistik daripada para peserta industri mendapati rakyat Malaysia kini lebih mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan mereka sejak pandemik, dengan dua daripada lima rakyat Malaysia kini mula bersenam dengan lebih kerap.
“Di KL Wellness City, kami berpendapat bahawa aktiviti senaman fizikal di tempat terbuka adalah cara yang berkesan untuk memupuk individu supaya lebih peka tentang kesejahteraan dan kesihatan mereka.
“Kami juga amat berbesar hati dengan peluang yang diberikan untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat melalui Cabaran Kecergasan kami,” katanya.
Cabaran Kecergasan Fizikal adalah cabaran yang terdiri daripada laluan halangan CrossFit yang mempunyai tahap kesukaran yang berbeza.
Untuk memenangi cabaran berkenaan, peserta perlu menghabiskan larian sejauh 5 kilometer (km) dan merentasi lima halangan yang akan mencabar kekuatan dan daya tahan fizikal mereka iaitu membawa pemberat 10 kilogram, aktiviti plank selama 2 minit, merangkak di bawah kawat duri, melakukan 50 burpee dan yang terakhir mereka perlu berendam di dalam air sejuk untuk menguji ketahanan mental.
Sebanyak tiga kategori akan dipertandingkan iaitu junior untuk peserta berusia 16 hingga 29 tahun; terbuka 30 hingga 40 tahun dan master 45 tahun ke atas.
Yuran pendaftaran adalah sebanyak RM79 seorang (RM99 selepas 31 Oktober 2022) dengan peserta akan menerima beg barangan bernilai RM150, kit perlumbaan, medal penamat, cip masa, t-shirt penyertaan, baucer makanan, perlindungan insurans dan sijil penyertaan (elektronik).
Para peserta boleh mendaftar di https://register.racexasia.com/my/klfc22/registrations sebelum 15 November 2022.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara berkenaan, ikuti laman Facebook KL Wellness City @klwellnesscity.