PUTRAJAYA: “Dia tidak layak beri nasihat kerana dia bukan lagi ahli Pas,” kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas pemimpin Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang menyeru ahli parti itu mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mengelak mudarat Pakatan Harapan (PH).
Takiyuddin berkata, Mohd. Khairuddin bukan lagi ahli Pas dan nasihat seumpama itu tidak sepatutnya disuarakan bekas Ahli Jawatankuasa Pas tersebut.
“Anda (Mohd. Khairuddin) adalah orang asing bagi Pas sekarang,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar Pengumuman Pelaksanaan Program Tenaga Hijau Korporat di sini, hari ini.
Sebelum ini, Mohd. Khairuddin menyeru ahli Pas supaya mengundi BN bagi menyekat kemenangan PH.
Menurut penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu, tindakan itu penting kerana PH bakal memberi lebih kemudaratan terhadap negara jika diberi mandat semula menguasai tampuk kerajaan.
Sebelum ini, Takiyuddin dilaporkan berkata, Pas kekal dengan pendirian tidak pernah menganggap BN sebagai musuh walaupun tidak bekerjasama pada PRU15 sekali gus menjelaskan, musuh mereka sama ada Pas dan BN adalah PH.
Tambahnya, Pas dan BN tidak bermusuh sebaliknya keputusan tidak bersama pada PRU15 dibuat berdasarkan amalan demokrasi dan umpama ‘bermain di padang sama rata’.
“Jika kawasan tertentu dimenangi BN tidak mengapa, asalkan tidak jatuh kepada PH. Kita memang tidak bermusuh kerana kita kekalkan konsep penyatuan ummah,” katanya. – UTUSAN