PADANG TERAP: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim hari ini mengumumkan peletakan jawatannya selain keluar daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, langkahnya untuk meninggalkan Bersatu bakal diikuti lebih 1,000 ahli parti tersebut di bahagian berkenaan.
Kesemua individu tersebut katanya, akan dihimpunkan dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penggerak Masyarakat Padang Terap ditubuhkannya yang akan memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen tersebut.
“Tindakan keluar parti ini dibuat atas kerelaan tanpa paksaan atau kerana ditawarkan habuan tertentu. Langkah ini didorong oleh rasa hilang kepercayaan dan keyakinan kepada pimpinan Bersatu.
“Ketika kami berjuang untuk rakyat, pihak atasan mengklasifikasikan pemimpin macam saya seperti kelas kedua.
“Tindakan ini bukan sebab pilihan raya atau gila jawatan sebab saya sendiri pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang semasa masih bersama BN pada 2008 hingga 2013 dan sudah pun memegang jawatan Ketua Bahagian. Kalau kerana jawatan, tak perlu saya buat semua ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Antara mereka yang menuruti jejak langkahnya itu termasuklah empat ketua serta ahli jawatankuasa (AJK) beberapa cawangan di Bahagian Padang Terap.
Mengulas lanjut, Syed Sobri mendakwa, perjuangan Bersatu ketika ini juga tampak kabur dengan peruntukan untuk Pusat Daerah Mengundi (PDM) juga tidak diberikan.
“Di Kedah ini, Bilik Gerakan Bersatu negeri yang terletak di Alor Setar itu pun tak berfungsi dan selalunya gelap.
“Di Padang Terap ini ada 31 PDM dan setiap satunya memerlukan RM3,000 hingga RM4,000 untuk beroperasi tetapi peruntukan tak ada. Menteri-menteri Bersatu pula jika dipanggil ke kawasan-kawasan terpencil seperti di Padang Terap ini tak mahu turun dan itu antara menyebabkan kami kecewa,” katanya.
Ditanya sama ada keputusan diambilnya itu ada kena mengena dengan khabar menyatakan Pas akan bertanding di kawasan Parlimen tersebut berbanding Bersatu, Syed Sobri menafikannya.
“Sebelum Bersatu bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) pun, kita memang ada persetujuan iaitu mana-mana kerusi dimenangi BN akan ditandingi Bersatu manakala kerusi dimenangi Pas akan kekal kepada parti itu, begitu juga dengan kerusi dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (Amanah) kekal kepada Pas.
“Jadi kalau pilihan raya negeri (PRN) nanti, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah kerusi Pas. Kita pegang pada prinsip itu dan itu saja yang saya boleh komen,” katanya. – UTUSAN