KANGAR: Bilangan kawasan berisiko banjir di sekitar negeri ini menurun daripada 54 kepada 20 lokasi susulan usaha pencegahan oleh kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan.
Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, beberapa pendekatan secara holistik telah diambil dengan menggerakkan agensi-agensi kerajaan dalam menyelenggara parit, longkang serta terusan bagi memastikan laluan air tidak terhalang.
Katanya, kerajaan negeri turut melaksanakan projek tebatan banjir, melebarkan sungai, parit dan lain-lain dalam mengurangkan impak banjir kepada rakyat.
IMPAK
“Kita cuba untuk pastikan apabila tiba musim monsun, risiko banjir itu dapat dikurangkan walaupun bukannya secara 100 peratus, namun impaknya itu adalah minimum,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perlis di Kompleks Pentadbiran kerajaan negeri di sini hari ini.
20 kawasan yang disenaraikan sebagai lokasi berisiko banjir di Perlis itu adalah Petronas Padang Besar, Kampung Kubang Tiga, Kampung Panggas, Kampung Titi Tinggi, Kampung Sahabat, Kampung Bt. 17 Sg. Chuchoh, Kampung Masjid dan Kampung Guar Jentik.
Selain itu, kawasan lain yang turut tersenarai ialah Ulu Pauh Di Sg. Chempa, Kampung Paloh, Kampung Titi Besi, Kampong Batu Bertangkup, Kampung Kok Klang, Klinik Gial Sg. Gial, Kampung Baku, Kampung Wang Besar, Kampung Alor Dahanan, Kampung Penghulu Jaafar, Kampung Belanga Pudak dan Kampung Tebing Tinggi.
Sebelum ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan senarai 54 lokasi berisiko berdepan ancaman banjir membabitkan tiga kawasan Parlimen di negeri ini iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar.
Dalam pada itu, Hasnol turut menasihati penduduk yang terdedah kepada risiko banjir di sekitar Perlis agar dapat memainkan peranan dengan memastikan kawasan persekitaran termasuk parit dan longkang bersih daripada sampah.
“Jika mereka perlu bantuan untuk pembersihan, penduduk boleh maklumkan kepada Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri untuk dibuat koordinasi melibatkan pelbagai agensi,” katanya.
Tambahnya, penduduk juga dinasihat agar peka dengan pengumuman dibuat oleh pihak berkuasa dari masa ke semasa menerusi media massa atau pemimpin tempatan.
“Sama-samalah kita memainkan peranan agar bila berlakunya banjir ini, operasi pemindahan dan menyelamat dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya. – UTUSAN