PETALING JAYA: Hatrik Tchetche Kipre memastikan Terengganu FC terus memberi tekanan kepada Sabah dalam perebutan gelaran naib juara Liga Super selepas menumpaskan kelab bermasalah, Melaka United (MU) 4-2 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.
Pemain sayap lincah, Mohd. Faisal Halim memastikan kemenangan selesa skuad Penyu, yang nyata mengambil kesempatan terhadap Sang Kancil yang tampil tanpa tonggak import.
Terengganu FC yang perlu menang ke atas Melaka untuk menghidupkan peluang muncul naib juara liga menghukum tuan rumah seawal minit ketiga selepas Kipre menyempurnakan hantaran Faisal.
Pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk menggandakan kedudukan apabila Kipre sekali lagi membocori gawang mereka pada minit ke-14 sebelum melengkapkan hatriknya di minit ke-37.
Ketinggalan 0-3 tidak mematahkan semangat Sang Kancil untuk cuba merapatkan jurang, dan akhirnya dalam keghairahan Terengganu menambah jaringan, Faris Shah Rosli menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-44 untuk kedudukan 1-3.
Memasuki separuh masa kedua, Melaka bermula agresif untuk mencari jaringan dan akhirnya pemain sayap kanan, Syahmi Shamsudin menambah gol kedua pada minit ke-52 selepas menerima hantaram Syahrul Azwari.
Faisal bagaimanapun ‘membunuh’ sebarang usaha tuan rumah untuk bangkit apabila meledak gol keempat Terengganu pada minit ke-70 selepas merembat bola hantaran Hakimi Abdullah.
Ketika liga berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan, Terengganu kekal di tangga ketiga dengan 38 mata, hanya satu mata di belakang Sabah yang membenam Penang FC 4-1 di Likas. – UTUSAN ONLINE