KOTA BHARU : Empat lelaki ditahan selepas dipercayai memalsukan surat Pejabat Sultan Kelantan mengandungi titah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang kononnya menyokong kerjasama tiga buah syarikat untuk melaksanakan projek di sebuah daerah bulan lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, empat suspek berusia 45 hingga 70 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan daripada pegawai istana berhubung kejadian itu pada 28 September lalu.
Menurutnya, kejadian disedari pegawai istana terbabit selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp mengandungi sekeping surat yang ditandatanganinya bertarikh 15 September lalu.
“Surat berkenaan menyerupai surat yang dikeluarkan oleh pejabat Sultan Kelantan. Ia mengandungi titah kononnya Sultan Kelantan telah memperkenan dan menyokong penuh kerjasama antara tiga syarikat untuk melaksanakan satu projek di sebuah daerah di negeri ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pegawai istana terbabit tidak pernah mengeluarkan surat itu dan mengesyaki ada individu memalsukan surat terbabit.
Katanya, pegawai istana itu telah membuat laporan berhubung kejadian tersebut pada Isnin lalu sebelum empat suspek ditahan bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek ditahan reman selama lima hari bermula Selasa lalu.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang dokumen yang diterima dalam situasi yang meragukan. Semakan perlu dibuat dengan pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut atau agensi yan berkaitan,” ujarnya.
Muhamad Zaki berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan jalan samaran. – UTUSAN