KUALA LUMPUR: Dominasi Kedah dalam aksi skuasy perseorangan wanita berakhir selepas peserta Wilayah Persekutuan, Chen Yiwen menundukkan Aira Azman pada final Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Pusat Skuasy Jalan Duta, dekat sini, hari ini.
Kedah sebelum ini mendominasi dalam acara perseorangan wanita untuk dua edisi berturut-turut.
Aira yang merupakan adik kepada pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel yang lalu, Aifa, tunduk kepada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan, Yiwen 3-11, 11-8, 11-3, 5-11, 4-11.
Yiwen ketika ditemui pemberita, menyifatkan kemenangannya itu amat bermakna setelah pingat emas terlepas daripada genggamannya setelah tewas kepada Aifa dalam perlawanan akhir Sukma 2018 di Ipoh, Perak.
“Akhirnya saya berjaya mencuri satu pingat emas daripada Kedah, hari ini (semalam). Saya tak mahu terlepas emas lagi memandangkan ini adalah Sukma terakhir,” kata Yiwen, 21, yang merupakan pemain di ranking ke-74 dunia itu.
Mengulas mengenai pertarungan menentang pemain berusia 18 tahun, Aira, Yiwen berkata, dia bermain dalam keadaan kurang selesa pada bahagian betisnya.
Menurutnya, masalah tersebut menyebabkan dia kurang memberikan fokus kepada permainannya.
“Saya mula hilang fokus sehingga menyebabkan saya tewas pada set kedua dan ketiga. Namun, rakan-rakan beritahu saya ini bukan pengakhiran dan percaya dengan diri sendiri,” ujarnya.
Pingat emas perseorangan wanita pada temasya dwi tahunan itu sebelum ini didominasi sepenuhnya oleh Pulau Pinang menerusi Datuk Nicol Ann David (1998, 2000, 2002), Low Wee Wern (2006, 2008, 2010), Low Wee Nee (2012) dan Vanessa Raj (2014).
Selepas itu, giliran Kedah pula memonopoli pentas Sukma selama dua edisi berturut-turut menerusi S. Sivasangari pada 2016 dan Aifa, empat tahun lalu.
Bagaimanapun, kekecewaan Kedah diubati dengan kejayaan memenangi emas dan perak menerusi perseorangan lelaki selepas Ong Sai Hung menewaskan Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif 11-7, 11-5, 5-11, 11-6.
Bagaimanapun, kekecewaan Kedah diubati dek kejayaan dua perseorangan lelaki mereka yang berentap di final.
Emas dimenangi Ong Sai Hung manakala Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif perak selepas perlawanan berkesudahan 11-7, 11-5, 5-11, 11-6.
Sementara itu, dalam aksi final beregu campuran, pertembungan melibatkan dua pasangan Sarawak berkesudahan Harith Danial Jefri-Nathalie Sim Shu Eng mengalahkan Ma Si Yi-Nathan Kueh Tze Bing 9-11, 11-9, 11-5.- UTUSAN