HULU LANGAT: Terengganu memburu ibu segala pingat Sukan Malaysia (Sukma) kali keempat selepas mara ke pentas final setelah menewaskan Selangor 2-1 di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, petang tadi.
Dua gol pada babak pertama sudah cukup buat anak didik Badrul Afzan Razali melangkah ke pentas akhir dan bakal menanti pemenang diantara Pulau Pinang ataupun Wilayah Persekutuan.
Terengganu yang meraih pingat emas Sukma dalam tiga edisi (2006, 2008, 2010) mendominasi sebahagian besar permainan dan berada dihadapan seawal minit keenam hasil jaringan Muhamad Muslihuddin Atiq Mat Zaid untuk menewaskan Ahmad Azeem Izhar Ahmad Rizal.
Gol tersebut menyemarakkan pemain Terengganu dan mereka sekali lagi didepan buat kali kedua selepas Muhammad Zahim Raimi Zamani memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan pada minit ke-36 untuk gol kedua.
Memasuki babak kedua, Selangor mempamerkan kebangkitan dan berjaya merapatkan kedudukan hasil tandukan Muhamad Azim Muzahhir Saipu Azlan pada minit ke-61.
Bagaimanapun, gol penyamaan yang diharapkan Selangor bagi mengheret aksi ke masa tambahan tidak ‘timbul’ sekali gus terpaksa merelakan Terengganu lolos ke final dengan keputusan 2-1.
Sementara itu, Badrul Afzan menyifatkan kemaraan pasukannya ke pentas final bukanlah satu tugas mudah.
“Tekanan berterusan terutamanya pada separuh masa pertama membuahkan hasil dengan dua gol tercipta.
“Tahniah buat semua pemain yang mempamerkan semangat juang tinggi dan berdisipilin sehingga tamat masa perlawanan,” tegasnya yang mengharapkan aksi final bertemu Pulau Pinang.- UTUSAN