LONDON: Pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, kini menjadi monarki paling lama bertakhta di dunia selepas kemangkatan Ratu Britain, Ratu Elizabeth II pada Khamis lalu.
Keluarga diraja Brunei memerintah negara itu sejak lebih 600 tahun lalu dan Sultan Hassanal Bolkiah juga merupakan antara individu terkaya di dunia.
Baginda menaiki takhta pada 1967 dan sudah memerintah selama 54 tahun dan 339 hari sehingga Jumaat lalu, iaitu lebih empat tahun berbanding Ratu Margrethe II dari Denmark.
Ratu berusia 82 tahun itu kini adalah monarki paling lama memerintah di Eropah selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Ratu Margrethe disayangi rakyatnya kerana berjaya menyatukan dan memodenkan keluarga diraja dalam tempoh lebih 50 tahun bertahkta.
Baginda menaiki takhta pada 1972, ketika sokongan terhadap monarki semakin hambar dalam kalangan rakyat, namun baginda berjaya mengembalikan kegemilangan kerabat diraja serta mengembalikan kepercayaan rakyat.
Ratu yang kehilangan suaminya pada 2018 dan diberi nama timangan ‘Daisy’ berjaya mengelak sebarang skandal dan memodenkan institusi diraja dengan membenarkan dua anaknya mengahwini rakyat biasa.
Ratu itu kini menduduki tempat kedua sebagai pemerintah diraja masih hidup yang paling lama memerintah, diikuti Raja Carl Gustaf XVI dari Sweden.
Sultan Hassanal Bolkiah, 76, juga merupakan Perdana Menteri Brunei sejak negara dengan 400,000 penduduk itu mencapai kemerdekaan daripada United Kingdom pada 1984. – AFP