PETALING JAYA: Selangor menjadi pasukan terawal menempah tiket suku akhir acara bolasepak di Sukan Malaysia (Sukma) kali ini selepas menumbangkan Negeri Sembilan 1-0 di UM Arena sebentar tadi.
Skuad kendalian Mohd Firdaus Aziz yang masih segar dengan kemenangan ke atas juara bertahan, Perak tempohari dalam perlawanan pembukaan kumpulan A meneruskan momentum mereka menyerang ke kubu Negeri Sembilan sebaik wisel permainan dibunyikan.
Bagaimanapun, mereka terpaksa menanti sehingga separuh masa kedua untuk membuka tirai jaringan apabila pemain Selangor, Muhammad Khairi Sufian Khaineyusri berjaya memanfaatkan peluang terhidang untuk merembat bola melepasi jangkauan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Firdaus Kamal sekaligus meletakkan Selangor di depan 1-0 pada minit ke-50.
Keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan, dengan Selangor kini mengutip enam mata untuk memastikan slot ke suku akhir menjadi milik mereka.
Turut sama layak daripada kumpulan A adalah Wilayah Persekutuan yang menewaskan Perak 1-0 sekaligus mengutip enam mata.
Justeru pertembungan menentang Wilayah Persekutuan pada Jumaat bakal menentukan juara kumpulan A, manakala perlawanan membabitkan Perak dan Negeri Sembilan hanya melengkapkan jadual kumpulan setelah kedua-dua pasukan sah tersingkir.-UTUSAN