Selangor puas hati, padang punca JDT gagal tunjuk 'taring'

Selangor puas hati, padang punca JDT gagal tunjuk ‘taring’

KAPTEN Selangor Brendan Gan meminta penjelasan daripada pengadil perlawanan Zulkarnain Zakaria susulan keputusan memberikan penalti kepada JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam kelmarin.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Aksi dipamerkan Selangor FC ketika mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) disifatkan antara permainan terbaik Red Giants musim ini.

Biarpun dibelasah 5-1 pada pertemuan pusingan pertama Liga Super, namun dibawah kendalian jurulatih berbeza kedua-dua pasukan mencatat keputusan berbeza selepas seri 1-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam kelmarin.

Sikap positif dan komitmen tinggi setiap pemain Selangor adalah kunci kejayaan dan perkara itu diakui pengendali sementara Selangor, Nidzam Jamil selain menyifatkan sebagai persembahan terbaik diperagakan anak buahnya sejak beberapa aksi lalu.

Kejayaan mengutip satu mata itu juga menyaksikan Selangor mengakhiri badi kekalahan empat aksi liga sebelum ini.

“Sikap dan komitmen daripada pemain…kita agak berpuas hati mungkin ada perkara-perkara yang kita perlu tingkatkan, tapi secara keseluruhan JDT bermain bagus dan aksi ini bagus untuk ditonton peminat.

“Kita boleh belajar sesuatu dari segi taktik dan personaliti serta karakter pemain, jadi ia sangat baik,” katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad Red Giants bangkit daripada ketinggalan di babak kedua untuk meraih satu mata sekali gus menghalang anak didik Hector Bidoglio membawa pulang tiga mata.

JDT mendahului menerusi tendangan penalti Bergson da Silva di minit 33, sebelum Herlison Caion menyamakan kedudukan di minit 65.

Sementara itu, Bidoglio mengakui permukaan rumput yang sedikit tebal nyata merencatkan permainan pantas anak buahnya yang tidak bermain seperti biasa.

“Hari ini (malam kelmarin) kita tidak dapat keputusan diingini kerana kedua-dua pasukan juga beraksi baik dan begitu agresif.

“Kami tidak dapat bermain dengan corak pantas disebabkan permukaan padang yang tidak sama seperti kebiasaan kami bermain, dan kami lihat ia sukar untuk kami,” ujarnya.

Keputusan itu bagaimanapun, tidak menjejaskan kedudukan JDT di persada liga dengan mengumpul 42 mata, diikuti Sabah FC di kedudukan kedua, 36 mata.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya