KOTA BHARU : Rata-rata rakyat negeri ini melahirkan rasa teruja dapat melihat buat kali pertama raut wajah Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah walaupun hanya menerusi media sosial.
Gambar Sultanah Kelantan itu dikongsikan menerusi laman Facebook Unit Media Pejabat Sultan Kelantan selepas baginda menerima menghadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian di sini semalam.
Seorang surirumah, Zainuin Husin, 57, berkata, sebelum ini dia terkejut selepas mendapat perkhabaran mengenai pengisytiharan Nur Diana Petra sebagai isteri kepada Sultan Muhammad V pada 2 Ogos lalu.
Menurutnya, selepas pengisytiharan itu, dia tidak sabar melihat dan menunggu potret Sultanah Kelantan bersama Sultan Muhammad V.
“Saya gembira melihat raut Sultanah Kelantan kerana keayuan dan kejelitaannya meskipun hanya menerusi gambar di Facebook.
“Harapan saya agar Sultanah Kelantan sudi mencemar duli untuk bertemu dengan rakyat jelata selepas ini,” katanya di sini hari ini.
Seorang pemilik butik, Zabedah Yusoff, 56, berkata, dia berharap dapat melihat wajah Sultan Kelantan dari dekat sekiranya baginda menghadiri program-program bersama rakyat.
Katanya, kejelitaan dan keanggunan Sultanah Kelantan yang berbaju kurung sangat terserlah.
“Saya yakin Sultanah Kelantan akan disukai oleh rakyat jelata,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah berkenan menerima menghadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian.
Itu merupakan kemunculan pertama baginda di Istana Negeri selepas diisytihar sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN