PETALING JAYA: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara tiada pilihan, selain menang ke atas Sri Lanka di Stadium MFF, Ulaanbaatar, hari ini, bagi mencerahkan peluang merebut tiket ke Piala Asia B-20, tahun depan.
Kegagalan mengatasi tuan rumah, Mongolia selepas terikat 1-1 pada aksi pertama Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-20 di gelanggang sama, kelmarin menyebabkan pasukan kendalian Hassan Sazali Waras memilih laluan sukar.
Selepas Sri Lanka, skuad muda negara akan berdepan lawan lebih kuat iaitu Korea Selatan pada aksi terakhir kumpulan, Ahad ini.
Hanya juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan di Uzbekistan tahun depan dan lima lagi slot akan diisi naib juara terbaik daripada 10 kumpulan dalam kempen kelayakan.
Ketika ditanya mengenai keputusan menentang Mongolia, Hassan mengakui sedikit kecewa apabila pasukannya tidak dapat mencapai sasaran awal meraih tiga mata.
Justeru, Hassan mencabar anak buahnya untuk mempamerkan persembahan lebih baik berdepan Sri Lanka dan mencipta kemenangan dengan jaringan besar.
“Sudah tentu kami sedikit kecewa (dengan keputusan berdepan Mongolia) kerana sasaran utama kami adalah untuk meraih tiga mata.
“Jadi, pasukan wajib menang ke atas Sri Lanka selain perlu berusaha untuk memperoleh jaringan yang besar kerana ia akan diambil kira dalam penentuan kelompok lima naib juara terbaik,” katanya.
Kumpulan E ketika ini diterajui Korea Selatan yang mengumpul tiga mata selepas membelasah Sri Lanka 6-0.
Dalam masa sama, Hassan juga mengingatkan pemainnya berwaspada dan tidak mengambil mudah ancaman Sri Lanka.
“Saya fikir mereka akan bermain bersungguh-sungguh selepas kalah besar di tangan Korea Selatan dan ia bukan tugas mudah bagi pemain saya,” ujarnya. – UTUSAN