MANCHESTER: Rekod tanpa kalah Arsenal di Liga Perdana Inggeris (EPL), akhirnya dinoktahkan Manchester United di Old Trafford menerusi kemenangan 3-1, sebentar tadi.
Penyerang baharu United, Antony tidak mengambil masa lama untuk membuka akaun gol apabila meletakkan tuan rumah didepan pada minit 35.
Bagaimanapun, The Gunners bangkit menyamakan kedudukan hasil ledakan Bukayo Saka pada minit 60.
Tersentak dengan jaringan itu, Red Devils tidak menunggu lama untuk kembali mendahului dan kali ini hasil jaringan Marcus Rashford pada minit 66.
Sembilan minit kemudian, penyerang England itu, sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring sekali gus memastikan United mengekalkan rentak kemenangan keempat berturut-turut musim ini.
Keputusan itu juga menyaksikan rekod lima kemenangan berturut-turut Arsenal terpadam di tangan United.- AGENSI