WELLINGTON: Lima orang maut selepas sebuah bot terbalik akibat berlanggar dengan seekor ikan paus di perairan South Island, New Zealand.
Menurut pegawai tempatan, bot yang membawa 11 penumpang yang sebahagian besarnya merupakan kumpulan pemerhati burung, terbalik selepas pukul 10 pagi (waktu tempatan) di Goose Bay, kira-kira 15 kilometer (km) di selatan Kaikoura.
Operasi menyelamat yang mengambil masa hampir tujuh jam berakhir apabila pasukan penyelam polis menemukan lima mayat di dalam bot tersebut.
Dilaporkan, enam lagi mangsa berjaya diselamatkan dan mereka hanya mengalami cedera ringan.
Beberapa media tempatan melaporkan tekong bot itu juga terselamat.
Terdahulu, beberapa gambar tular dalam media sosial menunjukkan mangsa melambai tangan dengan meminta bantuan dari bot sepanjang 8.5 meter yang terbalik.
Menurut polis, bot tersebut milik perniagaan sewaan tempatan.
Sementara itu, Datuk Bandar Kaikoura, Craig Mackle berkata, beberapa ‘petunjuk’ menunjukkan bot itu berlanggar dengan seekor ikan paus,
Bagaimanapun, polis tidak mengulas kemungkinan itu kerana siasatan masih dijalankan. – AFP