KUALA LUMPUR: Boling yang membuka tirai pertandingan, hari ini, menyaksikan Sarawak menuai pingat emas pertama mereka untuk sukan tersebut menerusi aksi perseorangan wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Sunway Mega Lanes, Petaling Jaya.
Atlet berusia 17 tahun, Lavinia Kho Jia Jie yang menyifatkan emas yang dimenangi merupakan satu kejutan besar baginya memandangkan ini adalah penyertaan sulungnya pada temasya tersebut.
Menyempurnakan 1,271 jatuhan pin, menewaskan rakan sepasukan, Nur Hazirah Ramli yang mencatat 1,268 jatuhan pin untuk pingat perak, melayakkan Lavinia menjuarai acara perseorangan itu.
Pingat gangsa pula menjadi milik peserta Selangor, Nur Nais Falilnesa Isman yang melakukan 1,263 jatuhan pin.
“Saya bermula cemerlang pada dua pusingan awal, begitu juga pusingan ketiga.
Bagaimanapun, prestasi saya agak menurun di pusingan keempat sehingga menganggap peluang untuk menang emas sudah tertutup.
“Jurulatih berusaha tenangkan saya dan mahu saya fokus kepada permainan. Selepas itu, saya cuba beri perhatian dan sebaik perlawanan tamat, saya memang tak sangka dapat menang emas,” katanya ketika ditemui selepas pertandingan berakhir.
Lavinia juga mengakui gementar terhadap persaingan antara dirinya dengan rakan sepasukannya, Gillian Lim Siew Giok yang merupakan atlet kebangsaan.
“Gillian berada dalam skuad kebangsaan, jadi, saya memang tak sangka sama sekali untuk menang, malah, Hazirah juga bagus.
“Jujur saya katakan, sasaran awal saya hanyalah untuk berada dalam kelompok 10 terbaik,” ujarnya.-UTUSAN