KPM cungkil bakat baharu sepak takraw

KPM cungkil bakat baharu sepak takraw

RADZI Jidin ketika gimik pelancaran Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di SK Presint 5 (1), Putrajaya, hari ini. GAMBAR : FAISOL MUSTAFA PEMBERITA : HUSNI (UTUSAN)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di peringkat sekolah rendah bagi mencari bakat dan pelapis sukan berkenaan pada masa depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, fasa pertama program itu membabitkan 150 sekolah dengan penyertaan 1,200 murid dan bimbingan oleh 10 mentor terdiri daripada jurulatih sepak takraw sekolah.

Beliau berkata, sekiranya murid mempunyai potensi untuk diketengahkan, mereka ini akan dibawa ke pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri atau sekolah sukan Malaysia.

POTENSI

“Ini adalah satu usaha menyeluruh untuk melihat dan memastikan potensi murid dapat dioptimumkan selain mengesan bakat sukan baharu.

“Fasa pertama program ini turut melihat model yang terbaik dan sesuai selain melihat sebarang penambahbaikan dan sumber yang diperlukan sebelum bergerak ke fasa seterusnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di sini, hari ini.

Katanya, program ini adalah sebahagian daripada usaha KPM untuk memberi ruang seluas-luasnya kepada murid sekolah menonjolkan kebolehan dan bakat masing-masing.

Radzi berkata, beliau juga mahu setiap murid yang datang ke sekolah tahu mereka mempunyai kekuatan dan kelebihan. 

“Jika mereka agak terkebelakang dalam bidang akademik, mereka juga perlu sedar bahawa dalam diri mereka ada kelebihan dan kekuatan lain terutama dalam bidang sukan.

“Jika mereka rasa ada kekuatan itu, mereka akan hadir ke sekolah dan sekali gus tidak berlaku lagi isu keciciran di sekolah. 

“Pada masa sama, kita mahu jadikan sekolah tempat menyeronokkan dan murid juga akan rasa dihargai,” katanya.

Katanya, KPM juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta beberapa kementerian lain bagi memastikan program ini diteruskan pada masa hadapan supaya program pencarian bakat sukan ini dapat dilakukan secara berterusan.

Jelasnya lagi, program ini bukan sahaja mencari bakat, sebaliknya membina keyakinan murid, meningkatkan semangat kesukanan dan membangunkan seorang insan yang holistik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya