IPOH: Yusri Che Lah menyifatkan pelbagai pengalaman dan kesukaran dihadapi selama bersama Perak musim ini tidak terdapat di mana-mana.
Katanya, pemotongan sembilan mata, pendaftaran hanya 20 pemain, masalah kecederaan pemain dan menyaksikan Perak kadang-kadang hanya ada 12 atau 13 pemain serta tidak menerima gaji selama beberapa bulan antara cabaran yang dialami semasa menjadi jurulatih Perak FC.
“Ini semua pengalaman yang tidak dapat dibeli di mana-mana, saya rasa hanya saya seorang yang mengalaminya.
“Apa yang saya boleh katakan memang sukar mengendalikan pasukan Perak,” kata Yusri kepada pemberita selepas perlawanan dengan Kuching City FC, semalam.
Justeru, beliau memuji kecekalan dan kejituan semangat pemain Perak dalam mengharungi pelbagai dugaan dalam kempen liga Perdana itu
Perak FC menamatkan cabaran pada kedudukan ke-9 dengan mengumpul lapan mata.
Walaupun pencapaian Perak belum boleh dibanggakan tetapi jurulatih itu berbangga dengan kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan pemain muda pasukan itu.
Yusri yakin kehadiran jurulatih Lim Teong Kim mampu mengubah suasana bola sepak Perak
“Dengan pengalamannya, saya yakin dia mampu membawa kembali ke zaman kecemerlangan,” katanya.
Yusri yang akan mengendalikan pasukan B-23 Perak musim hadapan berkata Perak mempunyai ramai penain muda berbakat kerana pernah muncul juara Sukan Malaysia tiga kali.
“Kita akan dapatkan kembali khidmat mereka untuk memperkuatkan pasukan B-23 itu nanti,” katanya.
Pada masa sama, jurulatih mengucapkan terima kasih kepada XOX Berhad serta penyokong kerana telah memberi sokongan padu kepadanya. – UTUSAN