JOHOR BAHRU: Kadar kebolehpasaran graduan politeknik merekodkan peningkatan kepada 93.7 peratus pada tahun lalu berbanding 91.4 peratus bagi tahun sebelumnya sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19.
Pengarah Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Norhayati Zakaria berkata, peningkatan itu didorong kerana negara kini telah beralih ke fasa endemik.
Katanya, peningkatan turut direkodkan bagi graduan kolej komuniti iaitu sebanyak 94.8 peratus pada 2021 berbanding 94.3 peratus pada tahun sebelumnya.
“Dengan pelbagai sektor ekonomi mula dibuka semula, graduan politeknik dan juga kolej komuniti telah berjaya mengisi keperluan tenaga kerja, khususnya dalam pelbagai bidang kemahiran,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan Pertandingan Kemahiran Politeknik Malaysia (Polyskills 2022) di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Pasir Gudang, di sini hari ini.
Norhayati berkata, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menerusi politeknik dan kolej komuniti turut menunjukkan peningkatan semula jumlah kemasukan penuntut.
“Sewaktu tahun 2020 dan 2021, memang terdapat penurunan bagi kedua-dua institusi berkenaan tetapi setelah memasuki fasa endemik tahun ini, jumlah kemasukan penuntut turut menunjukkan peningkatan ketara.
“Bidang TVET ini memang ada permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan merupakan modal insan yang sangat diperlukan dalam pelbagai sektor industri. Jadi, generasi muda digalak untuk memasukkan bidang TVET,” ujarnya.
Mengenai program berkenaan, Norhayati memberitahu, seramai 33 penuntut terpilih akan mewakili politeknik ke pertandingan Worldskills Malaysia Belia (WSMB) yang akan berlangsung di Selangor bulan depan.
Polyskills 2022 anjuran JPPKK itu disertai seramai 313 penuntut daripada 33 politeknik seluruh negara membabitkan 29 bidang kemahiran, antaranya teknologi dron, geomatik, pembinaan digital, elektronik dan mekatronik.
Edisi ketujuh Polyskills kali ini telah berlangsung selama lima hari bermula 11 September lalu dengan anjuran bersama Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Mersing dan Politeknik Metro Johor Bahru. – UTUSAN