Hoki Piala Sultan Johor buka tirai hujung Oktober

Hoki Piala Sultan Johor buka tirai hujung Oktober

TUNKU ABU BAKAR SULTAN IBRAHIM menerima replika cek berjumlah RM100,000 sumbangan Johor Corporation dan syarikat kumpulan yang disampaikan oleh Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat Hasnina Hafiz Hassan pada Majlis Pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor di Pusat Konvensyen Angarabangsa Persada, Johor Bahru.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setelah tertunda dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19, Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor kembali diadakan buat tahun ke-10 pada bulan depan.

Presiden Konfiderasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2022 yang akan berlangsung dari 22 hingga 29 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya di sini akan melibatkan penyertaan enam negara.

Selain pasukan negara selaku tuan rumah, kejohanan kali ini disertai United Kingdom (UK), Australia, India dan Jepun selain Afrika Selatan yang membuat penampilan pertama.

Katanya, kejohanan itu merupakan platform terbaik buat pasukan hoki negara mendapatkan pendedahan beraksi dengan negara luar selain dapat menggilap bakat baharu.

“Kejohanan ini cukup berprestij dan dinantikan peminat sukan hoki tanah air, sudah hampir dua tahun tiada kejohanan dan kita dapat lihat banyak kejohanan sudah mula giat diadakan.

“Penyertaan pertama kali pasukan remaja Afrika Selatan ini turut menambah lagi saingan selain pasukan Jepun yang mencari peluang merebut kejuaraan kejohanan ini.

“Pasukan Afrika Selatan semakin meningkat naik dan berada pada tangga ke-13 dunia manakala pasukan Malaysia pula berada pada tangga ke-10 dunia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran dan Penyampaian Cek Penajaan Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor Edisi ke-10 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Tunku Putra Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah.

Subahan berkata, Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor itu akan menjadi pendedahan pasukan hoki negara sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Dunia 2023.

Mengenai sasaran pada kejohanan tahun ini, beliau tidak meletakkan sasaran dan mahu pasukan hoki negara memberikan aksi yang terbaik setelah muncul juara pada 2011.

Beliau memberitahu, penganjuran kejohanan berkenaan mendapat tajaan pelbagai pihak yang dianggarkan lebih RM2 juta berjaya diperoleh.

Antara yang memberikan tajaan ialah kerajaan negeri sebanyak RM500,000; RTM (RM400,000); Astaka Padu Sdn Bhd (RM50,000); Johor Corporation (RM100,000); Tenaga Nasional Berhad (RM100,000) dan Contemporary Logistics (RM100,000).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN