KUALA LUMPUR: Bintang import Johor Darul Ta’zim (JDT) Fernando Forestieri menghadiahkan kejayaan menjulang Piala FA kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Ini untuk rakan saya @muhammadsanusimdnor_official. Terima kasih atas sokongan anda, nikmati piala ini,” tulisnya di Instagram Story dengan berkongsi poster JDT dengan Piala FA.
Skuad Harimau Selatan menepati status sebagai kelab bola sepak terbaik Malaysia apabila menjulang Piala FA edisi ke-31 dengan menundukkan Terengganu FC 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Ini adalah trofi ketiga dibawa pulang Harimau Selatan selepas kali pertama dilakukan pasukan Johor pada 1998 disusuli JDT pada 2016.
Gol JDT diraih menerusi jaringan Arif Aiman Hanapi dan dua jaringan penyerang sensasi mereka Bergson da Silva manakala Terengganu membawa pulang satu gol hasil ledakan Tchetche Kipre.-UTUSAN