WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan akan mengesyorkan agar suntikan vaksin Covid-19 diambil setiap tahun.
Perkara itu diumumkan oleh pegawai kesihatan ketika dos penggalak baharu yang dihasilkan untuk memerangi penularan varian, dilancarkan.
Menurut Menteri Kesihatan AS, Xavier Becerra, lokasi kempen vaksinasi terkini akan disediakan dalam lingkungan lapan kilometer (km) dari penempatan 90 peratus rakyat AS, menjelang hujung minggu ini.
Katanya, warga AS boleh mendapatkan dos penggalak baharu pada musim luruh atau sejuk akan datang, berserta suntikan tahunan vaksin selesema.
Dalam pada itu, Presiden AS, Joe Biden menerusi kenyataan menyatakan langkah itu bermakna `satu suntikan vaksin Covid-19, sekali setahun pada setiap musim luruh.’
Sementara itu, Penyelaras Tindak Balas Covid-19 White House, Dr. Ashish Jha berkata, pihaknya sedang menuju ke arah pemberian satu suntikan vaksin Covid-19 setiap tahun yang mampu memberi tahap perlindungan tinggi daripada jangkitan teruk sepanjang tempoh berkenaan.
Malah, beliau turut menyifatkan inisiatif itu sebagai pencapaian yang amat penting.
Pengarah Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) AS, Rochelle Walensky berkata, vaksinasi tahunan boleh membantu menyelamatkan ribuan nyawa.
Katanya, ia mampu dicapai meskipun purata tujuh hari kemasukan ke hospital akibat jangkitan Covid-19 kini menurun sebanyak 14 peratus kepada 4,500 orang sehari. – REUTERS