Bryan pecah rekod Daniel Bego, raih emas keempat

Bryan pecah rekod Daniel Bego, raih emas keempat

Perenang Wilayah Persekutuan Bryan Leong beraksi dalam acara 100m kuak kupu-kupu lelaki pada Sukma 2022 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.-UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perenang Wilayah Persekutuan, Bryan Leong, berjaya memecah rekod kebangsaan berusia 13 tahun milik Daniel Bego dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Kejayaan itu juga menyaksikan dia meraih emas keempat di Sukan Malaysia (Sukma) 2022.

Bryan,19, kini memegang rekod baharu acara itu selepas melakukan catatan masa 53.32 saat (s).

Rekod lama yang dicatat Daniel sebelum ini adalah 53.33s di Kejohanan Dunia di Rom pada 2009.

“Di Sukan SEA Hanoi, Mei lalu, saya memecahkan rekod kebangsaan dengan perbezaan 0.01s bagi acara 50m gaya bebas. Kali ini saya melakukan perkara sama dengan kelebihan 0.01s tapi acara berbeza,” katanya.

Pingat perak dimenangi perenang Selangor, Ng Tze Xiang (54.72s), manakala gangsa milik Low Zheng Yong dari Melaka.

Walaupun sudah meraih empat emas dan mencipta satu rekod kebangsaan, pelajar jurusan neurosains dan psikologi tahun ketiga di England itu dilihat belum puas dan berharap mempu menambah koleksi pingat itu dalam dua lagi acara iaitu 50m gaya bebas serta 4x100m rampaian.

“Saya memang tidak jangka dan tidak percaya dapat memecahkan rekod kebangsaan. Apa yang membuatkan saya teruja adalah dapat memecahkan rekod idola saya,” katanya.

Bagi saingan 400m gaya bebas lelaki, perenang kebangsaan, Khiew Hoe Yean menepati ramalan apabila menghadiahkan kontinjen Wilayah Persekutuan pingat emas dengan catatan 3:53.41s, diikuti rakan sepasukan, Tan Khai Xin (3:58.72s) dan gangsa digondol perenang Melaka, Low Zheng Yong (4:04.59s).

Sementara itu, perenang wanita Sarawak, Kelly Teo Yao terus mencipta sensasi apabila meraih emas dalam acara 400m gaya bebas dengan mencatat masa 4:31.92s, manakala perak milik wakil Johor, Ong Yong Qi (4:32.36s) dan gangsa diraih Hooy Jia Yee dari Pulau Pinang (4:34.66s).

Perenang Johor, Rouxin Tan meraih emas kelima apabila muncul juara dalam acara 200m kuak dada dengan mencatat masa 2:35.93s, manakala Low Ee Mang dari Selangor sekadar berpuas hati dengan perak (92:45.10s) dan gangsa milik Yeoh Yun Xuan dari Pulau Pinang (2:48.70s).

Dalam saingan 100m kuak kupu-kupu wanita, Lim Shun Qi dari Selangor meraih emas selepas mencatat masa 1:02.48s, manakala perenang Pulau Pinang, Keesha Ho membawa pulang perak (1:03.57s) dan seorang lagi perenang Selangor, Kellyn Choong menggondol gangsa (1:05.30s).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya