SETIU: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu kesal terhadap pengunjung yang didapati degil walaupun penduduk tempatan juga sudah memberi amaran selepas terdapat tanda-tanda berlaku kepala air di Lata Ulu Kasar di sini, Jumaat lalu.
Pengarahnya, Md. Hilman Abd. Rashid berkata, pengunjung juga lebih mengutamakan harta benda berbanding keselamatan diri dan ahli keluarga ketika berlaku tragedi tersebut.
“Difahamkan penduduk tempatan juga menyuruh pengunjung naik ke tebing namun mereka masih berdegil dengan terus bermandi-manda,” katanya ditemui ketika melawat tempat kejadian kepala air di Lata Ulu Kasar di sini, hari ini.
Tinjauan di Lata Ulu Kasar har ini mendapati tempat riadah itu tetap menerima kunjungan pengunjung selain operasi operasi perniagaan yang berjalan seperti biasa.
Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya juga mendapati beberapa buah kereta juga diletakkan di laluan air dan bukan di ruang parkir kenderaan yang disediakan menyebabkan pengunjung tidak sempat menyelamatkan diri.
“Harta boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh diganti. Mereka sepatutnya membawa ahli keluarga ke tempat selamat dan bukan bertindak seperti menempah maut,” ujarnya.
Selain itu, Md. Hilman berkata, pengunjung di tempat rekreasi mengambil langkah-langkah berhati-hati apabila terdapat tanda-tanda berlaku kepala air.
Jelasnya, antara tanda-tanda tersebut adalah bunyi deruan air, pertukaran warna air sungai, air berbuih dan ada sampah sarap serta kenaikan mendadak paras air.
“Kami harap tahap kesedaran masyakarat dapat ditingkatkan terutama musim peralihan monsun ketika ini bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini,” jelasnya. – UTUSAN