KLANG: Sebanyak 62 kawasan berisiko di daerah ini dikenal pasti sebagai lokasi jangkaan berlaku banjir berikutan fenomena air laut pasang besar yang sedang berlaku ketika ini.
Pegawai Daerah Klang, Shahman Jalaludin berkata, kawasan tersebut adalah Telok Gong, Pulau Indah dan beberapa lokasi sepanjang Sungai Serdang, dengan anggaran jumlah penduduk di kesemua kawasan itu lebih 10,000 orang.
“Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang dan beberapa agensi lain telah membuat persiapan bagi menghadapi banjir ini.
“Mengambil iktibar kejadian bah besar di daerah ini tahun lalu, kita juga telah menubuhkan pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) sebagai pasukan respon awal untuk melakukan kerja-kerja menyelamat sekiranya banjir berlaku,” katanya semasa melakukan tinjauan di jeti nelayan Kampung Tok Muda, semalam.
Beliau menambah, sepanjang fenomena tersebut, Pusat Hidrografi Nasional Klang menjangkakan paras air laut boleh mencecah 5.5 meter (m) dari bulan ini hingga Disember.
Sehubungan itu, situasi tersebut mencetuskan kebimbangan apabila menurut Shahman, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan taburan hujan dalam tempoh sama di antara 100 hingga 400 milimeter (mm).
“Pada pagi ini, ketinggian air laut adalah 5.46 m, bagaimanapun tiada kemalangan ban pecah yang berlaku.
“Apapun, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai fenomena ini, tapi sekiranya diminta berpindah jika berlaku banjir di kawasan mereka, saya minta mereka patuh dengan arahan itu,” katanya.
Sementara itu, jurutera JPS Klang, Ahmad Fauzan Mohd. Sabri berkata, JPS membahagikan kawasan operasi kepada dua pasukan, iaitu pasukan Klang Utara dan Klang Selatan serta semua pegawai JPS Klang bersiap siaga untuk bertugas sekiranya diperlukan. – UTUSAN