PETALING JAYA: Kejayaan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia 2022 memastikan zaman suram sukan badminton negara kembali gemilang.
Sering terkandas di peringkat separuh akhir pada setiap kejohanan yang disertai namun kali ini bumi Tokyo menjadi tuah buat mereka berdua sebagaimana dikecapi pada Sukan Olimpik Tokyo dengan meraih pingat gangsa.
Bekas pakar beregu negara, Datuk Jalani Sidek berkata, kejayaan diraih pasangan beregu negara, Aaron-Wooi Yik boleh dilihat memberi amaran bahawa barisan pemain badminton Malaysia akan bangkit pada kejohanan akan datang.
Ujarnya lagi, kejayaan ini dilihat menutup segala cacat cela dalam sukan badminton yang sudah lama tidak meraih kejayaan.
“Jika dilihat aksi menentang lawannya dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra mereka pada dasarnya dilihat tidak berdepan masalah berdasarkan pertembungan terakhir yang memihak pasangan negara.
“Aaron-Wooi Yik dilihat mengekalkan corak permainan konsisten pada set kedua dan lawannya juga sudah penat sekali gus memastikan juara milik mereka.
“Sudah terbukti badi di peringkat separuh akhir berjaya ditamatkan dengan meriah gelaran kejayaan di kejohanan tertinggi badminton.
“Kejayaan ini akan meniup semangat pemain badminton negara lain untuk berjaya di pentas tertinggi dengan sasaran seterusnya adalah meraih emas di Olimpik,”katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambahnya lagi, Aaron-Wooi Yik perlu bersedia dan terus konsisten memandangkan akan menjadi perhatian dan sasaran pasangan lawan.
“Bukan mudah untuk bergelar juara dunia dan mereka telah membuktikannya, kini tugasan seterusnya adalah mereka perlu konsisten.
“Perbaiki kelemahan-kelemahan yang ada, kerja keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada kejohanan akan datang dan sentiasa bersiap sedia berdepan dengan pihak lawan yang pastikan ini menewaskan mereka berdua,” tegasnya.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo menyaksikan Aaron-Wooi Yik berjaya membuang badi tanpa gelaran namun mereka mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain badminton pertama berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.
Kejayaan terbabit berjaya dilakar selepas beregu yang berada di ranking keenam dunia itu mengalahkan pasangan Indonesia 21-19,21-14.
Kemenangan itu sekali gus menamatkan kemarau gelaran juara pemenang gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 terbabit sejak digandingkan pada 2017.