Yamaha Tenere 700 – Jentera hampir sempurna - Utusan Malaysia

Yamaha Tenere 700 – Jentera hampir sempurna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBOLEHAN melayari internet kini telah menjadi satu perkara yang umum dan ini menjadikan pasaran lebih terbuka dan informasi menjadi tanpa sempadan. Jika dikaitkan fakta ini dengan motosikal yang ingin kami perkenalkan untuk artikel hari ini, Hong Leong Yamaha (HLY), selaku pengimport dan juga pengedar motosikal berjenama Yamaha di Malaysia, ternyata harus berdepan dengan permintaan dan desakan daripada pasaran yang lebih terkini, lebih berpengetahuan dan lebih berinformasi.

Ini adalah satu daripada fenomena tersebut. Yamaha Tenere 700 mungkin bagi mereka yang tidak memiliki minat yang mendalam untuk jentera dua roda, gagal mengenal pasti apakah punca jentera ini tular. Namun, sejak berita kemunculannya pada penghujung 2021, peminat dan tidak kurang juga penjual motosikal tempatan terus-terusan menghujani pertanyaan demi pertanyaan tentang tarikh kewujudannya dalam pasaran tempatan.

PENGENALAN

Yamaha Tenere adalah satu unsur ‘jawab balas’ Yamaha kepada model Honda Africa Twin atau KTM Adventure 790. Menyedari peralihan minat para pencinta dua roda kini lebih banyak tertumpu kepada model-model adventure iaitu model motosikal yang tampak seperti sebuah motosikal lasak off-road, atau jenis dwi-guna. Yamaha Tenere mula diperkenalkan pada awal 80-an dengan inspirasi rekaan dan kegunaannya adalah berlandaskan kepada kejohanan lumba lasak Paris-Dakkar. Pelbagai keupayaan kapasiti telah diperkenalkan sepanjang kewujudannya di pasaran dunia dan saya juga telah beroleh peluang menunggang model yang dipanggil “super Ten” iaitu dengan enjin berkapasiti 1200cc ketika eksplorasi di New Zealand pada 2018.

Ketika pengenalannya pada penghujung 2021, saya menjangkakan ia sebuah jentera yang berat dan sukar dikendalikan ketika di laluan off-road namun ternyata bercanggah langsung sama ada dari segi pengendalian dan prestasi jentera, atau respon peminat terhadapnya.

PENUNGGANGAN

Prestasi penunggangan jentera ini sudah tentu harus diukur di atas permukaan jalan raya konvensional, sama ada jalan raya persekutuan atau lebuh raya. Kebetulan saya berpeluang untuk ke utara tanah air dan menggunakan peluang ini untuk menguji Tenere 700 secara total.

Menunggang di lebuh raya memang secara amnya memerlukan sebuah motosikal yang berkuasa dan stabil. Dari aspek penghantaran kuasa enjin, Tenere 700 bertindak cemerlang dalam kedudukan setiap gear. Kuasa tujahannya berfungsi dengan baik malah jika anda dalam posisi gear keenam sekali pun, anda tidak berdepan dengan penghantaran kuasa yang tersekat. Namun harus dinyatakan, penunggangan di atas lebuh raya bukanlah kekuatan model ini. Rekaan dan berat motosikal ini yang lebih 200 kilogram (kg) ternyata membuat jentera ini membuai-buai ditampar angin kencang terutama ketika melewati lori-lori besar. Begitu pun, prestasi jenteranya dalam penghasilan tahap kelajuan amat memeranjatkan. Tenere 700 ini mampu mencecah kelajuan melebihi 200km/j atas laluan lurus.

Bagaimanapun, apabila melalui jalan raya persekutuan atau lebih seronok lagi apabila melalui lorong-lorong ‘tikus’ atau kawasan pendalaman, kekuatan motosikal ini dapat dirasai. Sistem suspensi hadapan dan belakangnya ternyata berfungsi dengan cemerlang, menyerap segala hentakan yang diberikan, kestabilan jentera di laluan tidak rata serta keupayaan pengendalian pemegang yang dirasakan mudah dan ringan. Keupayaan ini ditambah dengan penggunaan bar pemegang yang lebar dan serta saiz rim hadapan sebesar 21 inci.

Meter digital penuh T-7 ini ternyata ditampilkan dengan rekaan pengembaraan. Lengkap dengan informasi-informasi yang diperlukan untuk penunggangnya akan tetapi saya gagal mendapatkan informasi sama ada meter ini boleh dipadankan dengan sistem navigasi atau telefon bimbit anda. Kestabilan yang daripada sistem suspensi standard kilangnya sangat-sangat mengujakan dan membolehkan anda mengambil selekoh-selekoh tersebut dengan efisien pada kelajuan yang tinggi. Penggunaan tayar bercorak off-road atau rali mungkin memberikan signal kepada penunggangnya yang motosikal ini tidak sesuai untuk perlumbaan atas jalan raya namun tayar Pirelli Scorpion (depan: 90/90-21 dan belakang 150/70-18) yang dibekalkan sangat mencengkam pada apa juga keadaan permukaan jalan.

Rekaan lampu hadapannya juga agak unik serta penggunaan lampu-lampu LEDnya ternyata menepati keperluan penggunanya. Kecerahan dan suluhan lampu unik Tenere 700 ini tidak langsung mengecewakan ketika malam menjelang. 

KESIMPULAN

Agak sukar mencari kelemahan pada sesuatu yang ‘sempurna’. Jika ada pun, bahagian-bahagian motosikal ini yang ingin saya kritik, saya mungkin akan menyenaraikan pelananya. Pelananya dilengkapi span yang mencukupi untuk model seumpama ini dan membantu dalam penyerapan hentakan dan goncangan ketika melalui laluan denai-denai off-road namun tidak sesuai untuk pemanduan jarak jauh.

Tenere 700 ini menarik perhatian ramai. Di mana sahaja saya berada, pasti ada yang akan berpaling. Rekaan kosmetiknya yang membuatkan peminat perlumbaan lasak teruja, kanak-kanak mula berimaginasi dan mengkaitkan rekaan fizikal motor ini dengan motor “kamen rider.”

Di Thailand, motosikal dijual pada harga sekitar RM58,000 dan di Filipina(RM52,000). Sekiranya HLY memasarkannya pada pasaran tempatan, ia mungkin dijual pada harga tidak kurang RM50,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya