PETALING JAYA: Skuad boling padang trio wanita negara menghadirkan sebutir lagi pingat perak untuk kontinjen kebangsaan selepas tewas kepada England dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, yang berjalan tengah malam tadi waktu tempatan.
Pertarungan yang berlangsung di Victoria Park, Leamington Spa itu menyaksikan gandingan Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Azlina Arshad terpaksa akur dengan kekalahan 17-9 kepada pasukan tuan rumah.
Dalam aksi penentuan juara itu, England yang dibarisi Jamie Lea Winch, Natalie Chestney dan Sian Honnor memulakan balingan cemerlang seawal end pertama, namun pasukan kebangsaan pula hanya mula mengutip mata pada end ke-3.
Meskipun cuma ketinggalan satu mata, Malaysia berjaya menampilkan aksi sengit menerusi end ke-6 dengan menyamakan kedudukan hingga end ke-13, dengan kutipan satu mata mendahului England, 9-8.
Bagaimanapun, England terus memintas drastik dengan tambahan empat mata lagi pada end ke-14, manakala Malaysia pula statik dengan 9 mata tanpa perubahan sehingga perlawanan tamat pada end ke-17.
England mengesahkan kemenangan bermaruah dengan keputusan 17-9.
Dalam perkembangan sama, gandingan pairs boling padang wanita juga gagal menyempurnakan sasaran emas apabila tumpas pada peringkat separuh akhir, petang semalam.
Kekalahan itu menandakan pasangan pairs negara, Siti Zalina Ahmad dan Emma Firyana gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi mereka pada temasya Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
Kedua-duanya tewas kepada wakil Australia, Kristina Krstic dan Ellen Ryan, 10-13 dalam pertarungan yang berjalan sebanyak 18 end.
Siti Zalina-Emma Firyana dijadual berdepan gandingan dari New Zealand, Selina Goddard-Katelyn Inch bagi penentuan pingat gangsa, hari ini.