'Tokyo bawa tuah kepada kami'

‘Tokyo bawa tuah kepada kami’

Aaron Chia- Wooi Yik berpelukkan dengan barisan kejurulatihan selepas muncul juara dunia 2022.-IHSAN BWF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tokyo akan terpahat sebagai bandar paling istimewa buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik apabila merangkul kejuaraan dunia, setahun selepas membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik.

Semalam, beregu badminton No. 1 negara itu memahat sejarah muncul pemain Malaysia pertama bergelar juara dunia selepas menumpaskan pasangan handalan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14.

Kemenangan itu hadir selepas 45 tahun Malaysia menunggu, lebih istimewa lagi, Aaron-Wooi Yik menjadi beregu pertama berjaya menjinakkan Ahsan-Hendra dalam Kejohanan Dunia.

“Lapan belas pasangan dari 13 negara cuba menumpaskan Ahsan-Hendra dalam Kejohanan Dunia tetapi gagal.

“Hari ini, Aaron-Wooi Yik melakukannya, 3,308 hari selepas The Daddies (Ahsan-Hendra) beraksi dalam perlawanan pertama mereka (sebagai pasangan) pada kejohanan ini,” kata Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Selepas lapan percubaan terakhir negara untuk memiliki juara dunia gagal,  Aaron Chia-Wooi Yik memahat sejarah ketika Malaysia di ambang untuk menyambut Hari Kemerdekaan ke-65, Rabu ini.

Sebelum ini, bekas jaguh perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei pernah mencuba tiga kali dengan satu lagi aksinya di final dibatalkan gara-gara kegagalan doping.

Selain Chong Wei, Wong Choong Hann turut pernah mara ke perlawanan akhir sekali, manakala menerusi beregu lelaki, Malaysia memiliki wakil pada final sebanyak empat kali.

“Sukar untuk saya menjelaskan dengan perkataan tentang perasaan saya. Sudah tentu kami gembira kerana berjaya menjadi kebanggaan negara sebagai juara dunia pertama dari Malaysia.

“Tahun lalu, kami memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik di Tokyo. Tahun ini pula, kami meraih pingat emas juga di Tokyo. Jadi, saya rasa akan Tokyo membawa tuah kepada kami,” katanya.

Aaron-Wooi Yik turut mengecewakan Ahsan-Hendra ketika memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik di Tokyo, Ogos tahun lalu.

Mengulas kunci kejayaan mereka pada perlawanan akhir, anak kelahiran Batu Berendam, Melaka itu memberitahu, perbezaan besar yang berjaya dilakukan olehnya dan Wooi Yik ialah fokus ketika berada dalam gelanggang dan matlamat yang disasarkan mereka berdua.

“Kami tidak ambil peduli tentang kutipan mata, sama ada kami sedang mendahului atau ketinggalan.

“Kami sedar lawan bermain dengan bagus ketika tiga pukulan pertama, jadi, kami cuba mengubah perancangan permainan dengan beraksi lebih sabar dan menggunakan kekuatan,” jelas Aaron.

Wooi Yik pula berkata, setelah bergandingan selama empat tahun dan sering kali kalah pada final dan separuh akhir, tetapi kini mereka akhirnya berjaya merangkul gelaran.

“Saya telah bekerja keras untuk memperbaiki permainan saya di bahagian belakang gelanggang kerana selama ini saya banyak beraksi di depan. Strategi kami sebenarnya untuk menguasai setiap sudut gelanggang dengan baik,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya