ISKANDAR PUTERI: Pengunjung yang menyaksikan perlawanan sukan tempur Muay Thai, Pahlawan: Malaysia vs Challenger sempena Festival Majestic Johor pada 10 September ini berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM200,000.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuk dua buah kereta jenis Perodua Axia, dua motosikal, lima rantai emas dan wang tunai.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, tawaran berkenaan dibuat penganjur pertandingan sukan tempur berkenaan sebagai menarik minat pengunjung untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Katanya, program Pahlawan: Malaysia vs Challenger itu merupakan salah satu daripada lebih 30 program yang dianjurkan kerajaan negeri dalam usaha menarik kehadiran pelancong ke Johor.
“Seramai 14 petinju Muay Thai dari enam negara akan menyertai tujuh perlawanan yang diadakan. Tujuh negara terbabit adalah Malaysia, Thailand, Amerika Syarikat, Brazil, England dan Slovakia.
“Kita menyasarkan program ini akan dapat menarik kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Sunway Bigbox, di sini hari ini.
Program berkenaan bakal dianjurkan di Stadium Tertutup EduCity yang mampu memuatkan sehingga 3,000 pengunjung.
Suhairi yakin program sukan yang melibatkan peserta dari pelbagai negara akan dapat menarik kemasukan lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Kejohanan ini pertama kali diadakan di Johor dan saya menjemput peminat sukan tempur khususnya Muay Thai untuk hadir beramai-ramai bagi menyaksikan atlet tempatan bertarung dengan atlet antarabangsa.
“Setakat ini sebanyak 70 peratus daripada tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut telah terjual, manakala dengan pembelian baju t-shirt bernilai RM50, pengunjung berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah,” ujarnya. – UTUSAN