KUANTAN: Majikan disarankan menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas penagih dan banduan dalam usaha memberi mereka peluang kedua bagi memulakan kehidupan baru selepas tamat menjalani hukuman penjara.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, majikan harus tampil memainkan peranan terbabit memandangkan golongan tersebut sukar mendapatkan pekerjaan malah ada juga yang disisihkan keluarga.
Menurutnya, susulan itu, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) memilih usaha tersebut sebagai salah satu projek di bawah kendaliannya.
“Ini adalah satu teladan yang baik kepada para majikan untuk turut tampil ke hadapan membantu menyelesaikan satu daripada masalah kerajaan.
“Ini kerana apabila mereka (bekas penagih dan banduan) keluar daripada pusat pemulihan atau penjara memang masalah utamanya mencari pekerjaan ada setengah-setengahnya terbuang daripada keluarga sendiri.
“Ini akan memberikan lagi mereka tekanan hidup dan bertambahlah masalah yang mereka hadapi lebih-lebih lagi tanpa sebarang pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar pada Program Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Peluang Kedua Kehidupan Baru di LYC Auto Spa di sini hari ini.
LYC Auto Spa merupakan syarikat perkhidmatan mencuci kereta telah mengambil pekerja terdiri daripada bekas penagih dadah dan banduan sejak dibuka pada 2009.
Seramai 200 golongan tersebut pernah berkhidmat dengan syarikat terbabit, namun kini hanya tinggal sembilan orang ketika ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Luar berkata, dengan penglibatan majikan ini dapat membantu kerajaan menyelesaikan isu pekerjaan dalam kalangan golongan tersebut.
Jelasnya, ternyata sukar bagi majikan mengendalikan mereka namun terdapat juga bantuan dan kerjasama daripada pihak polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menerusi program hijrah.
“Menerusi sokongan yang diberikan oleh majikan dalam program seperti ini sedikit sebanyak juga dapat mengurangkan kebergantungan majikan terhadap pekerja asing.
“Dengan itu, daripada pihak Parlimen bantuan turut disalurkan menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), IM Prihatin untuk membantu pekerja-pekerja yang berada dalam program tersebut,” katanya. – UTUSAN